Sukma: Selangor hantar 1,138 atlet, tanding semua jenis sukan

Bendera Selangor. Foto 123RF
Bendera Selangor. Foto 123RF
A
A
A

KONTINJEN Selangor menyasarkan untuk menurunkan 1,138 atlet bagi membawa cabaran dalam semua 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak yang dijadual bermula 17 Ogos depan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, Selangor juga optimis dengan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga teratas di temasya sukan dwitahunan itu.

"Dari segi persediaan atlet, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM8 juta bagi program pembangunan atlet dan persediaan kontinjen Sukma," katanya menjawab pertanyaan Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi (PH-Seri Serdang) berhubung persediaan kontinjen Selangor bagi menghadapi temasya yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos itu.

Beliau berkata demikian semasa ditanya ketika menggulung Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Mohd Najwan berkata, walaupun secara relatifnya jumlah peruntukan untuk persediaan kontinjen Selangor adalah lebih rendah berbanding negeri lain seperti Sabah (RM27.2 juta), Sarawak (RM23.1 juta) dan Terengganu (RM20 juta), namun pihaknya turut mendapat tajaan daripada daripada anak syarikat kerajaan negeri.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga turut mengambil tanggungjawab untuk menjadi PBT angkat kepada persatuan sukan tertentu yang secara tidak langsung dapat menampung kekurangan dalam peruntukan tersebut.

Sidang DUN Selangor ditangguhkan sehingga 10 pagi esok. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: