Kuari pasir di Sungai Muda patuhi peraturan - Exco

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kanan: Mohamad Yusoff)
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kanan: Mohamad Yusoff)
A
A
A

ALOR SETAR - Semakan keseluruhan ke atas kuari pasir di Sungai Muda, Jeniang di Kuala Muda mendapati ia mematuhi peraturan mengikut Kanun Tanah Negara (Akta 828) Seksyen 426 dan pekeliling Pengarah Tanah dan Galian.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff@ Munir Zakaria berkata, semasa lawatan tapak dijalankan, kuari tersebut tidak beroperasi sepenuhnya dan hanya menjalankan kerja-kerja mengepam pasir di dalam Sungai dan kerja-kerja di dalam tapak ‘stokfile’ (simpanan).

Menurutnya, tiada kesan runtuhan tebing dikesan berlaku di kawasan sekitar.

“Bahan batuan pasir sungai tidak diangkut keluar semasa lawatan tapak dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohamad Yusoff@ Munir berkata, pemohon baru menjalankan operasi mengepam pasir sungai berkenaan dan terdapat anggaran baki simpanan pasir sebanyak 500 meter padu atau 50 buah lori.

Tambahnya, dicadangkan dikekalkan pematuhan sedia ada berdasarkan syarat kelulusan yang dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah Daerah serta syarat teknikal yang dikeluarkan oleh jabatan teknikal yang berkaitan.

Terdahulu, pada Isnin, media melaporkan hampir 200 penduduk di Kampung Masjid Lama, Jeniang membantah projek menyedut pasir yang dilakukan di Sungai Muda berhampiran kampung itu yang didakwa mengancam keselamatan penduduk.

Penduduk mendakwa projek yang bermula awal Januari lalu itu turut berisiko memberi impak hakisan di lokasi Jambatan Jeniang yang terletak kira-kira 900 meter dari tapak projek berbanding 1,000 meter yang ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28