Geng Njok aktif pecah rumah tumpas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Polis menumpaskan 'Geng Njok' yang dianggotai empat lelaki tempatan kerana disyaki terbabit dalam enam kes pecah rumah di bahagian Bintulu, dalam Op Pintu yang dijalankan pada 19 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua berkata, kesemua suspek yang berumur antara 23 dan 24 tahun itu telah mula bergiat aktif dalam kes pecah rumah sejak awal tahun.

"Modus operandi adalah dengan mengumpil tombol pintu rumah mangsa dengan menggunakan peralatan seperti pemutar skru, playar dan pencangkuk besi buatan sendiri.

"Hasil siasatan awal, polis telah merampas barangan bernilai RM33,754 hasil daripada tiga kes atas pengakuan suspek.

"Rampasan terbabit melibatkan barang kemas seperti enam bentuk cincin, seutas rantai, dua unit tablet dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nixon berkata, hasil daripada saringan air kencing, tiga daripada suspek didapati positif dadah selain mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama 14 tahun, denda atau kedua-duanya sekali. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: