PN sedia pertahan enam kerusi termasuk Labuan

Perikatan Nasional. Gambar kecil: Ronald Kiandee dan Hamir Zahari
Perikatan Nasional. Gambar kecil: Ronald Kiandee dan Hamir Zahari
A
A
A

KOTA KINABALU - Perikatan Nasional (PN) akan mempertahankan enam kerusi Parlimen yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu jika berlakunya kekosongan kerusi dan seterusnya diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di enam kawasan tersebut.

Pengerusi PN Sabah merangkap Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sudah menjadi hasrat parti untuk mengekalkan kerusi-kerusi di bawah PN.

"Pengundi-pengundi pada PRU lalu telah meletakkan enam kerusi tersebut sebagai kerusi PN. Jadi PN bersiap siaga bukan sahaja di Labuan malah di semua kerusi yang terlibat.

"Dengan pindaan yang telah dibuat oleh parti akan memudahkan Speaker Dewan Rakyat untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi sesuai dengan kehendak Akta Anti Lompat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan UMNO untuk membuka 'war room' sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) membabitkan enam Parlimen.

Cadangan itu susulan pindaan perlembagaan Bersatu yang diluluskan berhubung pelucutan keahlian bagi ahli Parlimen yang menyokong pihak lawan pada Sabtu lalu.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kawasan Labuan, Hamir Zahari berkata, setakat ini Pas Labuan bersedia untuk menghadapi kebarangkalian berlakunya PRK melibatkan Parlimen Labuan.

"Kami sekarang berada dalam 'mode standby' dan soal lain-lain biasanya PN akan tentukan dan akan dibincangkan dengan Pas Labuan.

Artikel Berkaitan:

"Tapi kita akan bersedia untuk mempertahankan kerusi ini dan kemenangan PN," katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya PN sebelum ini.

Untuk rekod, enam ahli Parlimen Bersatu sebelum ini telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam ahli Parimen tersebut ialah Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).