Perak sokong buka 'war room' UMNO di enam Parlimen

Saarani (kiri) ketika meninjau tapak Lumut Maritime Terminal 2 (LMT 2) di Segari pada Selasa.
Saarani (kiri) ketika meninjau tapak Lumut Maritime Terminal 2 (LMT 2) di Segari pada Selasa.
A
A
A

MANJUNG - UMNO Perak menyambut baik cadangan membuka 'war room' di kawasan Parlimen milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil (PRK).

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, saranan itu boleh disifatkan sebagai satu peringatan agar jentera parti dapat diperkukuhkan.

"Sebenarnya peringatan untuk membuka war room ini bukan hanya untuk enam parlimen ini, melangkah ke Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tidak lama lagi, akan sentiasa ada war room sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Lumut Maritime Terminal 2 (LMT 2) di Segari di sini pada Selasa.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, pihaknya melihat pelaksanaan PRK termasuk di Parlimen Kuala Kangsar dan Bukit Gantang masih jauh susulan beberapa prosedur yang perlu diambil kira.

Katanya, perkara itu termasuklah kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung pindaan perlembagaan dilakukan Bersatu.

"Kalau ikutkan kenyataan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Ahli Parlimen Bukit Gantang, enam orang berkenaan akan membuat petisyen di mahkamah.

"Jadi mahkamah akan bersidang dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan kemudian ke Mahkamah Persekutuan, maka panjang lagi ceritanya," kata.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, media melaporkan, UMNO disaran membuka 'war room' di enam Parlimen susulan pindaan perlembagaan Bersatu yang diluluskan parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, persediaan awal perlu dilakukan di Parlimen Jeli, Gua Musang, Kuala Kangsar, Labuan, Bukit Gantang dan Tanjong Karang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28