TNB, THT tepati ramalan

TNB ketika menentang KL City
TNB ketika menentang KL City
A
A
A

TENAGA Nasional Berhad (TNB), Pasukan Hoki Terengganu (THT), Maybank dan UITM HA-KPT mengesahkan slot separuh akhir Piala TNB 2024 selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi suku akhir.

Selepas menewaskan Kuala Lumpur City 7-0 pada suku akhir pertama, TNB membelasah skuad muda warga kota itu 17-1 pada aksi suku akhir kedua sekaligus mara separuh akhir menerusi agregat 24-1.

Sementara itu, pengendali TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang berpuas hati dengan jaringan besar diraih menyifatkan Kuala Lumpur City merupakan pasukan muda yang tidak diambil mudah dalam pertemuan tersebut.

“Pemain kami dibarisi oleh pemain kebangsaan dan pemain telah bermain dengan berdisiplin walaupun bertemu dengan pasukan yang bukan tandingan kami. Kami juga menggunakan perlawanan tersebut untuk memperkemaskan kesilapan-kesilapan selain terus membentuk keserasian yang terbaik antara pemain.

“Untuk aksi separuh akhir, kami telah mengetahui kelebihan dan kekurangan lawan berdasarkan aksi pusingan kumpulan. Namun saya dan pasukan tetap akan merangka strategi terbaik agar kami berjaya ke final dan mengapai sasaran untuk muncul juara treble musim ini.

“Saya percaya jika kami memberikan satu perlawanan yang baik dan berjuang berhabis-habisan, kami mampu mengapai sasaran yang ingin kami capai,” katanya.

Sementara itu, THT mengesahkan slot separuh akhir selepas menang 4-0 menerusi agregat 9-2 hasil kemenangan 5-2 ke atas Liaoning Men’s Hockey Team pada suku akhir pertama

Bagi pengendali THT, Mohd Harfizi Baharom, empat gol separuh masa pertama merupakan perancangan pasukan untuk menjaringkan gol awal supaya pemain-pemain bermain lebih tenang separuh masa kedua bagi mengelakkan kepenatan dan kecederaan.

Artikel Berkaitan:

“Bertemu Maybank pada separuh akhir nanti, kami tidak boleh mengambil mudah perlawanan tersebut. Walaupun kami berjaya menewaskan Maybank ketika saingan liga, namun separuh akhir merupakan satu perlawanan yang berbeza.

“Maybank pastinya akan memberikan saingan yang lebih hebat jadi kami akan berhati-hati untuk bertemu dengan mereka. Mereka mempunyai pakar dalam pukulan sudut penalti selain Maybank juga merupakan satu pasukan yang baik dari segi struktur permainan mereka,” katanya Harfizi.

Maybank pula melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan TNB Thunderbolts 7-2 dengan bekalan kemenangan 7-1 untuk agregat 14-3.

Pengendali Maybank, Azrul Effendy Bistamam memuji pemainnya yang telah memberikan aksi yang terbaik selain berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan anak-anak buahnya.

“Kami mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan dan setakat dua perlawanan dalam perebutan Piala TNB ini, saya amat berpuas hati dengan cara pemain bermain selain mereka telah mengikut arahan yang diberikan.

“Lawan kami THT di separuh akhir, kami tewas dengan mereka pada pusingan liga namun separuh akhir Piala TNB adalah satu perlawanan yang berbeza dan kami akan mempersiapkan pasukan dari segi mental dan fizikal dengan sebaik mungkin.

“Harapan kami tentunya untuk melepasi separuh akhir dan mara ke perlawanan akhir pada tahun ini,” katanya.

Satu lagi perlawanan menyaksikan dua gol pukulan penalti dijaringkan Zul Pidaus Mizun minit ke-14 dan ke-47 serta gol padang Muhammad Muhibuddin Moharam yang merupakan jaringan kemenangan buat UITM HA-KPT pada minit ke-57 berjaya mengesahkan tempat mereka di separuh akhir dan akan bertemu TNB.

Selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Nurinsafi Sporting pada suku akhir pertama, UITM HA-KPT ke separuh akhir menerusi agregat 5-2.

Piala TNB

Selasa (5 Mac)

Separuh Akhir Pertama

Tenaga Nasional Berhad lwn UiTM HA-KPT, jam 6 petang

Pasukan Hoki Terengganu lwn Maybank, 8 malam

* Semua perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!