AJL38: Hasrat tepati ramalan, Amir Jahari bawa pulang RM100,000

Amir Jahari
Amir Jahari
A
A
A

LAGU Hasrat nyanyian dan ciptaan sepenuhnya oleh Amir Jahari menepati ramalan ramai apabila mengungguli Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang melabuhkan tirainya di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad.

Kemenangan itu melayakkan penyanyi berusia 31 tahun itu memenangi trofi dan wang tunai RM100,000.

Sebelum ini beberapa orang selebriti termasuk Neelofa meramalkan Amir bakal menjuarai AJL38.

Naib juara AJL38 menjadi milik lagu Sutera nyanyian Aisha Retno menerusi lagu ciptaannya bersama MFMF dan lirik oleh Aisha sendiri. Kemenangan itu melayakkan penyanyi itu membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi.

Lebih manis, pertama kali menyertai anugerah berprestij, Aisha turut menerima Persembahan Terbaik sekali gus membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta trofi.

Menduduki tempat ketiga adalah lagu Jangan Mati Rasa Itu, ciptaan sepenuhnya Aina Abdul. Kemenangan itu melayakkan penyanyi itu menerima hadiah trofi dan wang tunai RM30,000.

Bukan itu sahaja, Aina turut memenangi dua kategori lain iaitu Anugerah Penyanyi Pilihan Alha Alfa dan Vokal Terbaik. Bagi setiap kategori, Aina membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM12,000 dan trofi.

Pentas acara bertemakan Muzikaverse itu juga buat pertama kalinya menggunakan teknologi pencahayaan Light Emitting Diode (LED) sebanyak 90 peratus.

Artikel Berkaitan:

AJL38 diacarakan oleh Sherry Alhadad bergandingan bersama Alif Satar manakala acara karpet Merah AJL38, dihoskan Fizzy Ali dan Fizza Frizzy serta bersiaran di TV3 dan strim melalui Tonton.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Shila Amzah, Datuk Zainal Abidin, Dayang Nurfaizah dan Ella.

Berikut adalah senarai lagu yang bertanding di AJL38:

Jangan Mati Rasa Itu (penyanyi, komposer dan lirik, Aina Abdul)

Sutera (penyanyi Aisha Reno / komposer Aisha Retno dan MFMF/ lirik MFMF)

Santai (penyanyi Naqiu/ komposer Faizal Tahir, Ezra Kong)

Inilah Jalannya (band Masdo / komposer Noh Salleh)

Astana (penyanyi Ernie Zakri / komposer dan lirik, Omar K, Shazriq Azeman, Ernie Zakri dan Syamel)

Darah (penyanyi Marsha Milan/ komposer dan lirik, Naim Daniel, Firdaus Rahmat)

Kalam (penyanyi Shiha Zikir/ komposer dan lirik, Iqie Hugh, Firdaus Rahmat, John Jeeves)

Hasrat (penyanyi, komposer dan lirik, Amir Jahari)

Kucuma (penyanyi Wany Hasrita dan Jamal Abdillah/ komposer dan lirik, A Ramlee dan Ezra Kong)

Bintang (penyanyi, komposer dan lirik, Hael Husaini)

Waktu (penyanyi Ziana Zain dan Hasif Upin/ komposer dan lirik Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat )

Selagi Ku Ada (penyanyi Khai Bahar dan Nabila Razali/ komposer dan lirik Amylea)

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28