Amir Jahari dedikasi Hasrat buat Palestin

Amir mengakui terkejut dengan kemenangannya dan menyifatkan ia sebagai batu loncatan buat kerjaya dan kehidupan peribadi. Foto TV3
Amir mengakui terkejut dengan kemenangannya dan menyifatkan ia sebagai batu loncatan buat kerjaya dan kehidupan peribadi. Foto TV3
A
A
A

PEMENANG Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), Amir Jahari mengakui tidak langsung menjangka kemenangannya di pentas berprestij itu.

Kali terakhir menyertai AJL pada tahun 2013, siapa sangka, lagu ciptaan Amir sepenuhnya, Hasrat berjaya menarik perhatian juri.

Bukan itu sahaja, Hasrat turut menjadi pilihan beberapa selebriti tanah air termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Neelofa, serta warga maya yang mengikuti rapat penganjuran AJL38.

"Sebelum ini saya pernah beberapa kali masuk pertandingan dan paling tinggi pun saya dapat, naib juara. Jadi bila menang ini, ada satu perasaan yang sangat pelik," ujarnya ketika ditemui selepas selesai program berkenaan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada awal pagi Isnin.

Tambah Amir, 31, dia mendedikasikan lagu Hasrat sebagai tanda solidariti buat rakyat Palestin yang kini masih menjadi mangsa kekejaman Israel.

Jelasnya, Hasrat adalah suara mereka yang berada di Palestin yang majoriti dunia tidak mahu dengari.

Amir bakal tampil dengan single dan album ketiga tahun ini. Foto TV3
Amir bakal tampil dengan single dan album ketiga tahun ini. Foto TV3

“Alhamdulillah, Malaysia masih aman dan damai tetapi Palestin masih berperang. Setiap kali baca Twitter (kini X) pasti saya dapat merasakan ketakutan serta derita yang mereka alami.

Artikel Berkaitan:

“Isu ini penting untuk saya suarakan agar kita terus bersolidariti bersama Palestin dan bersyukur negara ini kekal aman,” jelasnya.

Ditanya mengenai wang kemenangan RM100,000 yang diperoleh selaku pemenang tempat pertama AJL38, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu merancang untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu selepas ini.

"Sebelum ini saya memang merancang untuk tampil dengan single baharu, tetapi disebabkan sibuk dengan Semi Final Muzik Muzik dan seterusnya AJL38, jadi saya letak ke tepi dahulu perancangan itu.

"Insya-ALLAH selepas ini saya akan tampil dengan single baharu dan juga album ketiga.

"Kemenangan ini saya lihat sebagai batu loncatan untuk kerjaya saya dan untuk membesarkan tiga orang anak saya," katanya yang sebelum ini pernah berdepan kesukaran sebagai anak seni.

Dua bintang utama Imaginur, Beto Kusyairi dan Diana Danielle turut membuat kemunculan istimewa pada persembahan Amir. Foto TV3
Dua bintang utama Imaginur, Beto Kusyairi dan Diana Danielle turut membuat kemunculan istimewa pada persembahan Amir. Foto TV3

Hasrat adalah ciptaan sepenuhnya Amir atau nama penuhnya Mohamad Amirullah Jahari. Kemenangan melalui runut bunyi filem Imaginur.

Sementara itu, naib juara AJL38 menjadi milik lagu Sutera nyanyian Aisha Retno menerusi lagu ciptaannya bersama MFMF dan lirik oleh Aisha sendiri. Kemenangan itu melayakkan penyanyi itu membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi.

Lebih manis, pertama kali menyertai anugerah berprestij itu, Aisha turut memenangi Persembahan Terbaik sekali gus membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta trofi.

Menduduki tempat ketiga adalah lagu Jangan Mati Rasa Itu, ciptaan sepenuhnya Aina Abdul dan melayakkan penyanyi itu membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi.

Bukan itu sahaja, Aina turut memenangi dua kategori lain iaitu Anugerah Penyanyi Pilihan Alha Alfa dan Vokal Terbaik. Bagi setiap kategori, bintang berusia 30 tahun itu membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM12,000 dan trofi.

Pentas acara bertemakan Muzikaverse itu juga buat pertama kalinya menggunakan teknologi pencahayaan Light Emitting Diode (LED) sebanyak 90 peratus.

AJL38 diacarakan oleh Sherry Alhadad bergandingan bersama Alif Satar manakala Shila Amzah, Vanessa Reynauld, Datuk Zainal Abidin, Dayang Nurfaizah dan Ella tampil sebagai penyanyi jemputan.

“Bagaimanapun, saya tak mahu percaya tapi biarlah muzik saya yang 'bercakap' sendiri,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28