Jangan pertikai, Jasa pun dah tak wujud: Abu Bakar

Abu Bakar (depan, tiga kiri) menerima borang keahlian untuk menyertai Bersatu yang diserahkan wakil bekas kakitangan Jasa, Aldita Aladin.
Abu Bakar (depan, tiga kiri) menerima borang keahlian untuk menyertai Bersatu yang diserahkan wakil bekas kakitangan Jasa, Aldita Aladin.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya menyelar kenyataan mengenai penerimaan pemimpin Jasa adalah kerana kebijaksanaan yang ada pada mereka.

Menurutnya, ia terpulang kepada rakyat dan penyertaan mereka bersama Bersatu adalah kerana menyokong kerajaan.

"Tak perlu pertikai... kalau mereka minat untuk masuk parti Melayu, boleh pilih Bersatu atau boleh pilih mana-mana parti lain yang ada.

"Ini hak rakyat, Jasa pun dah tak wujud. Mereka kini ahli biasa, jadi mereka kena sokong kerajaan yang berteraskan Melayu, "katanya pada sidang akhbar selepas menerima borang keahlian daripada 60 bekas kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di Hotel Intekma, di sini, hari ini.

Sebelum ini, bekas Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Jasa, Tun Faisal Ismail Aziz menerusi Twitternya mempertikaikan tindakan Bersatu menerima permohonan bekas kakitangan Jasa sebagai ahli.

Dalam perkembangan sama, Abu Bakar berkata, keahlian baharu untuk parti itu semakin meningkat.

Terkini, parti itu menyasarkan untuk menerima sekurang-kurangnya 500,000 ahli baharu bagi tahun ini.

Katanya, ia sesuatu yang positif kerana sehingga kini banyak jemputan diterima pihaknya bagi tujuan penyerahan borang keahlian baharu.

Artikel Berkaitan:

“Dalam masa terdekat, saya akan ke beberapa negeri antaranya Johor, Perlis serta Kelantan untuk memenuhi jemputan tersebut.

"Kita tak putus-putus terima ahli baharu, malah saya dapat maklumat dah ada 500 ke 1,000 borang keahlian akan diterima dari negeri-negeri itu,” katanya.

Dengan maklum balas sebegini, ia menunjukkan keyakinan terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir selaku pengerusi.

“Boleh kata, mereka bangga tunjuk kad merah sebagai ahli Bersatu.

“Parti ini sangat terbuka untuk menerima sesiapa yang berminat untuk bersama, sebagai ahli majlis tertinggi saya sedia membantu dan menerima borang yang diserahkan,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, setiap permohonan akan disaring terlebih dahulu sebelum diterima menjadi ahli.