JSJK Bukit Aman belum terima laporan membabitkan syarikat milik Mahadi

Ramli (dua dari kanan) bersama Rohaimi (kiri) pada majlis pelancaran portal Semakmule 2.0 di sebuah pusat membeli belah terkemuka negara di Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto: HISYAMUDDIN AYUB.
Ramli (dua dari kanan) bersama Rohaimi (kiri) pada majlis pelancaran portal Semakmule 2.0 di sebuah pusat membeli belah terkemuka negara di Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto: HISYAMUDDIN AYUB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima sebarang laporan melibatkan syarikat AUF MBZ Consortium Plt, milik usahawan Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan membabitkan syarikat terbabit meskipun didapati menjalankan urusan perniagaan dalam aktiviti terkawal dengan mempromosi syarikat awam tidak tersenarai (UPC) tanpa memegang lesen daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Menurutnya, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh SC sebelum ini, pihaknya bersama suruhanjaya terbabit menetapkan syarikat milik Mahadi sebagai beroperasi tanpa berlesen.

"Kita percaya bahawa SC lebih tahu dan arif di dalam perkara ini, maka PDRM bersama suruhanjaya menetapkan 'establish' pada kes ini kekal sebagai syarikat pelaburan tidak berlesen.

"Siasatan dan perkembangan lanjut perkara ini akan dikendalikan oleh SC pada masa ini," katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar majlis pelancaran portal Semakmule 2.0 di sebuah pusat membeli belah terkemuka negara dekat sini pada Ahad.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC), Kamal Baharin Omar dan Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa.

Mengulas mengenai kes penipuan dalam talian, Ramli berkata, sejak lima tahun kebelakangan, kes jenayah terbabit mencatatkan peningkatan yang amat signifikan iaitu sebanyak 17,668 kes pada 2019 kepada 34,495 kes pada 2023.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, peningkatan itu bersamaan 95.2 peratus dan ia satu peningkatan yang sangat membimbangkan bagi tempoh lima tahun.

Sehubungan itu, katanya, usaha membanteras dan memberi kesedaran kepada orang ramai dipertingkatkan dari masa ke masa termasuk menyediakan platform menyemak nombor telefon atau syarikat yang digunakan sindiket bagi melakukan penipuan.

Jelasnya, portal Semakmule yang dibangunkan secara 'in-house' pada 2018 memberi kemudahan kepada masyarakat untuk membuat semakan dan pengesahan status, nombor telefon serta akaun bank.

Dalam pada itu, Ramli berkata, pada penghujung tahun 2023, JSJK telah menerima maklumat berkenaan transaksi pemindahan wang ke luar negara secara mencurigakan dengan nilai kira-kira RM3.8 billion.

Beliau berkata, transaksi itu melibatkan 15 syarikat perdagangan yang berdaftar di Malaysia dan wang tersebut disyaki adalah hasil kegiatan penipuan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, syarikat-syarikat tersebut telah digunakan oleh sindiket penipuan untuk membuka akaun bank bagi tujuan menyalurkan wang hasil penipuan ke 43 negara di seluruh dunia.