Sarjit jurulatih baharu Speedy Tigers

Laporan muka belakang Sukan Sinar pada Ahad
Laporan muka belakang Sukan Sinar pada Ahad
A
A
A

BAGAI sireh pulang ke gagang, Sarjit Singh dinamakan sebagai ketua jurulatih hoki lelaki negara yang baharu bagi menggantikan Arul Selvaraj selepas kontraknya tamat Januari lalu.

Sarjit yang merupakan jurulatih pasukan hoki Johor pernah mengendalikan skuad Speedy Tigers dari Januari 2007 hingga Disember 2008.

Pengumuman dibuat oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal selepas mempengerusikan mesyuarat khas pertama persatuan itu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Beliau berkata, keputusan dibuat sebulat suara setelah meneliti beberapa perkara melibatkan jurulatih asing dan tempatan selain keperluan para pemain.

"Setiap ahli jawatankuasa memberi pandangan dan akhirnya kami memilih Sarjit.

"Beliau merupakan bekas pemain kebangsaan, pernah menjadi kapten dan memiliki banyak pengalaman. Kami memberi kepercayaan dan sokongan penuh kepada Sarjit untuk memastikan skuad hoki negara meraih lebih banyak kejayaan," katanya.

Selain Sarjit, tiga calon lain yang disenarai pendek adalah bekas pengendali kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah serta dua calon dari luar negara, Brendan Caralon dari Afrika Selatan serta Glenn Turner dari Australia.

Setelah terlepas slot ke Sukan Olimpik Paris 2024, jurulatih baharu perlu membina semula skuad mantap untuk memburu pingat emas Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya yang akan melayakkan Malaysia ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Artikel Berkaitan:

Cabaran pertama jurulatih baharu itu ialah menyediakan skuad ampuh bagi mengharungi Piala Sultan Azlan Shah 2024 pada Mei depan.