Kementerian rangka formula atasi agihan benih padi

Salahuddin (tiga dari kiri) dan Mukhriz (dua dari kanan) menyerahkan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi akibat taufan Lekima kepada wakil peladang di Kawasan Muda di sini hari ini.
Salahuddin (tiga dari kiri) dan Mukhriz (dua dari kanan) menyerahkan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi akibat taufan Lekima kepada wakil peladang di Kawasan Muda di sini hari ini.
A
A
A

KODIANG - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani merangka satu formula sistem pengagihan benih padi dan baja subsidi agar kelewatan bekalan itu tidak berulang pada musim penanaman padi akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan memastikan sistem penyampaian kali ini lebih cekap selain mengurangkan kerenah birokrasi, agar bekalan dapat diagihkan tepat pada masanya.

Menurutnya, antara cadangan adalah dengan mewujudkan satu badan tunggal bagi menguruskan pengagihan benih padi dan baja subsidi.

“Saya akan umum mekanisme dalam tempoh terdekat. Badan tunggal itu kelak akan selesaikan kelewatan penghantaran benih padi dan baja kepada

petani, prosedur juga lebih ketat agar masalah tidak berulang. Malah kita juga akan perkasakan peranan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Pertubuhan Peladang Kawasan dalam sistem ini,” katanya pada sidang media selepas program Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi akibat Taufan Lekima kepada peladang di Kawasan Muda hari ini.

Pada majlis itu, seramai 2,152 peladang terjejas akibat taufan Lekima pada 9 dan 10 Ogos lalu menerima bantuan RM3.4 juta yang disampaikan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Salahuddin berkata, pembekal yang diberikan tender kali ini hendaklah mematuhi syarat ditetapkan dan pihaknya tidak berkompromi sekiranya berlaku salahguna kuasa atau penipuan dalam sistem penyampaian.

“Sebelum ini, kita bergantung kepada pembekal melalui pemberian kontrak dan tender mengikut zon ditetapkan, namun terdapat sedikit masalah dan ada pembekal dakwa kuota tidak cukup, ada yang habis kuota awal, jadi kita putuskan satu badan tunggal akan pantau proses ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya juga akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengendalikan pengurusan krisis dan bencana agropertanian membabitkan petani di negara ini.

“Pasukan ini berperanan membantu menyelesaikan permasalahan dihadapi petani, pesawah dan penternak. Antara fokus, mewujudkan sistem amaran awal bagi mengenal pasti krisis dan bencana yang dijangka berlaku agar persediaan dapat dilakukan secara cekap dan sistematik,” katanya.

Salahuddin berkata, pihaknya akan berkolaborasi bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) berhubung aspek ramalan dan kaji cuaca di sesebuah kawasan yang mungkin dilanda bencana.

“Kita harus bersedia lebih awal supaya dapat jangkakan kemungkinan berlaku bencana. Pasukan ini dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mengendalikan pengurusan bencana secara lebih efisien,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut bercadang menjalin kerjasama bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menangani permasalahan petani di kawasan luar Jelapang.

“Kita cuba pendekkan rantaian birokrasi di luar Jelapang kerana libatkan agensi lain. Ini antara jalan penyelesaian agar tidak lengah salurkan bantuan jika bencana berlaku di luar kawasan Jelapang,” katanya.

Mengulas mengenai musim kemarau yang melanda Wilayah Utara kini, katanya, pihaknya menyediakan peruntukan secukupnya untuk pembenihan awan namun ia tidak dapat dilaksanakan susulan awan sedia ada kurang sesuai.

“Kita akur nasihat daripada Jabatan Meteorologi dan perlu tunggu masa sesuai. Jika dilakukan juga sekarang, berlaku pembaziran jika matlamat tidak dapat dicapai. Untuk musim kemarau ini, kita sedang kumpul maklumat awal supaya bersedia dengan peruntukan membantu petani terjejas,” katanya.