Video intim: Azmin bersyukur tiada pendakwaan

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan Pejabat Peguam Negara tidak akan mengemukakan pertuduhan terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung kes video intim kontroversi dikaitkan dengan beliau diterima dengan penuh kesyukuran.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, keputusan itu membolehkan kebenaran mengatasi kejahatan dan walaupun dibersihkan daripada pertuduhan itu, beliau berdoa tiada lagi pihak akan menghadapi politik keji sebegini.

Menurutnya, sejak daripada awal beliau konsisten mengatakan video intim itu adalah komplot untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan tidak pernah ragu bahawa keadilan akan ditegakkan.

"Saya sudah membaca kenyataan Peguam Negara, Tommy Thomas berkenaan video fitnah terhadap saya.

"Segala puji bagi ALLAH kerana membolehkan kebenaran mengatasi kejahatan dan walaupun saya dibersihkan sepenuhnya, saya berdoa tiada lagi yang akan menghadapi politik keji seperti ini," katanya dalam kenyataan menerusi laman Twitter peribadinya hari ini.

Mohamed Azmin turut mengucapkan penghargaan kepada keluarganya kerana sentiasa mempercayai dan menyokongnya dalam menghadapi perkara itu.

"Saya juga amat berterima kasih kepada sokongan yang kuat dan konsisten daripada rakan dan orang awam, saya mengucapkan terima kasih dari lubuk hati saya," katanya.

Mohamed Azmin turut mengajak semua pihak menghentikan 'politik fitnah, pembunuhan karakter dan kempen tohmah' dalam politik.

Artikel Berkaitan:

"Sebaliknya melakukan wacana membina berkenaan isu, idea, kebaikan rakyat dan pembinaan negara," katanya.

Hari ini, Peguam Negara Tommy Thomas menjelaskan tiada pertuduhan akan dikemukakan dalam kes video intim kontroversi mengaitkan Mohamed Azmin dengan bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Thomas dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat susulan pakar forensik AS gagal mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusi rendah.

Menurutnya, laporan bebas oleh pakar forensik Amerika Syarikat mengesahkan dapatan CyberSecurity.

"Antara lainnya, kegagalan untuk mengenalpasti individu-individu di dalam video tular tersebut adalah disebabkan resolusi yang rendah dan kualiti video-video dan rangka (frames) video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Video intim: Tiada individu akan didakwa, kata Tommy

Bagaimanapun, Thomas menegaskan penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baru berhubung kes itu diperolehi, selaras dengan amalan biasa perundangan.

Rakaman video intim itu didakwa dirakam di sebuah hotel di Sandakan pada 11 Mei 2019 sebelum tersebar menerusi beberapa kumpulan WhatsApp disertai pengamal media pada 11 Jun lalu.

Haziq kemudiannya mengaku dirinya adalah orang dirakam dalam video itu selain mendakwa Mohamed Azmin adalah individu bersamanya, sehari kemudiannya.

Sejak pendedahan itu, Mohamed Azmin menafikan dakwaan Haziq secara konsisten dan menyifatkan perbuatan itu sebagai usaha memusnahkan kerjaya politiknya.

ARTIKEL BERKAITAN Video intim: Saya tidak tahu apa-apa, kata KPN