Peserta RXZ Fighter Gathering maut kemalangan

Muhammad Lokman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal Yamaha RXZ ditunggang terbabas melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 166.6 LPT1 arah timur di Maran pada Jumaat.
Muhammad Lokman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal Yamaha RXZ ditunggang terbabas melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 166.6 LPT1 arah timur di Maran pada Jumaat.
A
A
A

MARAN - Hasrat seorang peniaga pasar malam dari Kuala Kangsar, Perak untuk menyertai acara RXZ Fighter Gathering 2024 di Kuantan tidak kesampaian apabila dia maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 166.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur di sini pada Jumaat.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10.55 pagi itu, mangsa, Muhammad Lokman Abdul Aziz, 29, beralamat dari Kampung Talang Masjid, Kuala Kangsar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ bersama rakan-rakan dalam perjalanan daripada Kuala Kangsar menghala ke Kuantan untuk menghadiri acara permotoran itu.

Keadaan motosikal Yamaha RXZ ditunggang mangsa selepas berlaku kemalangan.
Keadaan motosikal Yamaha RXZ ditunggang mangsa selepas berlaku kemalangan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri.

"Berdasarkan keterangan rakan-rakannya, semasa kejadian mangsa berada di belakang sekali ketika mereka berkonvoi menunggang 14 motosikal ke lokasi acara di Kuantan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Mohamad Zamri berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya

Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28