Cacat penglihatan tetapi mampu baca al-Quran

Noor Ashikin bersama pengurus pusat berkenaan, Hasliana Hassan (kanan).
Noor Ashikin bersama pengurus pusat berkenaan, Hasliana Hassan (kanan).
A
A
A

KUALA PILAH - Meskipun cacat penglihatan selain kaki dan tangan, seorang wanita orang kurang upaya (OKU) di sini tidak menjadikan kekurangan itu sebagai halangan mengalunkan ayat suci al-Quran setiap waktu luangnya.

Anak sulung daripada 11 beradik, Noor Ashikin Borhanuddin, 47, yang pernah menjadi juara majlis tilawah al-Quran peringkat Negeri Sembilan kategori cacat penglihatan ini, dilihat lancar sebutannya ketika membaca surah al-Waqiah, al-Mulk dan beberapa surah lain menggunakan al-Quran Braille.

Katanya, al-Quran sudah menjadi sebati dalam dirinya malah merasa tidak lengkap sekiranya tidak 'menyentuh' al-Quran setiap hari terutamanya ketika masa terluang.

"Saya diberi kepercayaan bekerja sebagai juruwang di kedai runcit milik Pusat Jagaan Bengkel Seri Perkasa, Johol di sini lebih 10 tahun lalu.

"Sementara menunggu pelanggan dan waktu tamat bekerja saya akan baca al-Quran," katanya yang juga merupakan penghuni pusat itu.

Ujarnya, dia mula mendapat bimbingan belajar al-Quran sejak berumur 13 tahun sebelum meneruskan pengajian di pusat ini di bawah bimbingan bekas pengerusi bengkel.

Noor Ashikin mahu menjadikan Quran sebagai pendampingnya setiap hari.
Noor Ashikin mahu menjadikan Quran sebagai pendampingnya setiap hari.

"Sepanjang tempoh itu saya diberi tunjuk ajar bagaimana untuk membaca al-Quran dengan baik dan saya tidak kekok kerana sejak sekolah memang diajar jawi dalam braille.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya al-Quran ini adalah pendamping kita walau apa juga keadaan.

"Jika kita selalu baca kalam ALLAH, perasaan itu semakin tenang walau keadaan kita tidak seperti orang normal," katanya.

Dia yang berasal dari Gemencheh, Tampin berkata, mereka yang senasib dengannya juga dinasihatkan supaya tidak mudah berputus asa dan menggunakan kelebihan yang ada untuk membaiki kehidupan melalui Quran.

Sinar Harian difahamkan, Noor Ashikin mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak, Kuala Lumpur sebelum menetap di pusat jagaan ini pada tahun 2008.

Selain itu, dia juga pernah muncul selaku johan dalam pertandingan majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan kategori cacat penglihatan dan mendapat saguhati pada peringkat kebangsaan pada tahun 2018.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28