Kepupusan rumput laut, ancaman kepada populasi dugong

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kepupusan rumput laut yang menjadi bahagian penting kepada ekosistem marin bakal memberi ancaman besar terhadap populasi hidupan air khususnya dugong.

Menurut Jabatan Perikanan, selain menjadi habitat dan sumber makanan bagi pelbagai spesies, rumput itu juga berperanan dalam mengurangi kadar karbon dioksida di atmosfera dan memperbaiki kualiti air laut.

Bersempena Hari Rumput Laut Sedunia yang disambut pada 1 Mac setiap tahun, diharap menjadi landasan tepat bagi memberi kesedaran memelihara dan memulihara tumbuhan itu memandangkan ia 'aset' penting kepada dugong yang turut tersenarai sebagai Spesies Terancam Marin di bawah Akta Perikanan Malaysia 1985 dan Peraturan Perikanan (Kawalan Spesies Terancam) (Pindaan) 2008.

"Selain itu, dugong mamalia laut yang bergantung pada rumput laut sebagai sumber makanan utama juga menghadapi ancaman akibat pemburuan dan penangkapan haram dan kehilangan habitat. Bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem laut, penting bagi semua pihak untuk mengambil langkah-langkah konservasi yang tepat.

"Kepulauan Mersing merupakan satu-satunya tempat di Semenanjung Malaysia di mana spesies ini kerap dan boleh ditemui. Namun disebabkan ancaman terhadap habitatnya dan ekosistem rumput laut, populasi dugong ini dilihat semakin mengecil.

"Terdapat sekurang-kurangnya 19 kematian dugong direkodkan antara 2015 dan 2022, yang kebanyakannya adalah anak," kata jabatan itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, antara inisiatif ke arah konservasi rumput laut bagi menjamin kesejahteraan hidupan laut khususnya dugong, langkah yang dilihat sesuai dilaksanakan ialah melalui restorasi dan rehabilitasi habitat.

Jabatan itu menekankan, potensi nurseri rumput laut sebagai alternatif kepada usaha rehabilitasi dan restorasi habitat yang mampan diyakini mempunyai potensi besar untuk dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Kajian awal propagasi atau penternakan rumput laut sedang giat dijalankan terhadap spesis terpilih bersesuaian dengan potensi lokasi yang memerlukan rehabilitasi habitat rumput laut," katanya.

Menurutnya, hasil kajian yang dijalankan mendapati rumput laut paling banyak ditemukan di perairan Johor yang mana keunikan serta kesuburan tumbuhan tersebut di negeri berkenaan bukan sahaja menyokong kepada kemandirian dugong tetapi juga hidupan lain.

Justeru, bagi menjamin hidupan laut tersebut tidak lenyap di Malaysia, Jabatan Perikanan juga sedang meneliti dan giat dalam mewartakan kawasan perairan sekitar gugusan kepulauan Mersing khusus untuk memberi perlindungan kepada spesies dugong dan habitatnya iaitu rumput laut.