Dasar National Load Centre tidak lagi terpakai- Anthony Loke

Syarikat perkapalan antarabangsa boleh terus berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara kita sama ada di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak. Gambar hiasan
Syarikat perkapalan antarabangsa boleh terus berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara kita sama ada di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Dasar National Load Centre yang diperkenalkan pada 1990 bagi memusatkan semua perkhidmatan kargo di Pelabuhan Klang, Selangor tidak lagi terpakai, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, keputusan untuk tidak menggunakan dasar itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Menurutnya, dasar Kementerian Pengangkutan mempromosikan Pelabuhan Klang sebagai satu-satunya National Load Centre tidak lagi terpakai memandangkan pelabuhan tersebut kini mengendalikan jumlah kontena tempatan untuk import dan eksport telah melebihi enam juta TEU.

"Ini juga buat kali pertama Kementerian Pengangkutan membuat pengumuman ini kerana selama ini memang ada pelbagai persepsi yang tidak begitu tepat khususnya di Sabah yang berasakan bahawa kapal asing tidak pergi ke pelabuhan di Sabah kerana kita ada dasar National Load Centre ini.

"Ditegaskan dasar tersebut tidak lagi terpakai. Justeru, mana-mana pelabuhan boleh dijadikan pelabuhan ‘loading’ atau dipanggil oleh mana-mana syarikat perkapalan secara terus,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Sehubungan itu, Anthony berkata, keputusan untuk singgah di mana-mana pelabuhan Malaysia adalah dibenarkan dan tertakluk kepada keputusan komersial syarikat perkapalan.

"Syarikat perkapalan antarabangsa boleh terus berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara kita sama ada di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, semua kapal tempatan dan asing yang melaksanakan perkhidmatan kargo dalam perairan Malaysia perlu memohon Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) atas faktor keselamatan negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, proses permohonan DSL telah dipermudahkan dan akan diproses dalam tempoh tiga hari.

"Oleh itu, untuk isu keselamatan kita mewajibkan mana-mana syarikat yang melaksanakan perkhidmatan kargo dalam perairan negara mesti ada DSL. Ia amat mudah,” katanya.

Anthony turut menegaskan bahawa semua kapal asing boleh menyediakan perkhidmatan perkapalan secara terus dari pelabuhan asing ke mana-mana pelabuhan di Sabah, Sarawak dan Labuan untuk mengangkut barangan import atau eksport.

Selain itu, beliau berkata, Jemaah Menteri juga bersetuju secara prinsip dengan cadangan peluasan Had Pelabuhan Desaru dan penentuan kawasan had pelabuhan Desaru yang baharu adalah tertakluk kepada kajian Majlis Keselamatan Negara.

"Langkah peluasan had pelabuhan ini adalah diperlukan untuk memastikan kawalan keselamatan yang lebih ketat terhadap kapal-kapal yang berlabuh secara haram di kawasan perairan tersebut dan juga membolehkan aktiviti perkapalan dikawal selia dengan lebih baik,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28