Anthony Loke tak akan saman Dr Mastura

Anthony
Anthony
A
A
A

GEORGE TOWN - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad berikutan kenyataannya mendakwa beliau sepupu kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang dikatakan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Menurutnya, kenyataan Dr Mastura terhadapnya itu tidak membawa sebarang konotasi negatif walaupun dakwaannya langsung tidak tepat kerana beliau sememangnya tiada kaitan dengan keluarga Guan Eng.

"Saya tak boleh saman... tapi kalau ada talian pun itu bukan apa-apa konotasi negatif kerana Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang bukan komunis tetapi mereka adalah pemimpin DAP.

"Kalau ada pertalian pun tak apa. Seperti yang saya katanya saya bangga dengan nama keluarga saya iaitu Loke dan beliau Lim," katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang, di Komtar di sini, pada Ahad.

Sebelum ini, Guan Eng dilaporkan menyaman Ahli Parlimen Kepala Batas daripada Pas, Siti Mastura Muhammad kerana mengaitkan keluarganya dengan Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, tindakan undang-undang berkenaan dilakukan kerana Siti Mastura didakwa menimbulkan ketakutan terhadap DAP dan orang Cina sekali gus menyentuh unsur perkauman dan ekstremis.

Sebelum ini, dalam rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat, Siti Mastura pada majlis ceramah politik di Kemaman, Terengganu, didakwa mengaitkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa pengerusi parti itu, Lim Guan Eng sebagai sepupu bekas Ketua PKM, Chin Peng

Selain itu, Siti Mastura dalam rakaman itu juga mendakwa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew adalah sepupu Kit Siang selain mengaitkan isteri Guan Eng dengan Teresa.

Artikel Berkaitan:

Siti Mastura turut mendakwa beberapa lagi pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dan Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan.

Berikutan itu, polis mengesahkan telah merakam percakapan Dr Siti Mastura di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebelum ini berkata, rakaman percakapan itu dilakukan bagi membantu siasatan berhubung ucapan yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap pucuk pimpinan DAP.

"Siasatan telah dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Undang Undang/Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.