Syarikat penerbangan tak tepati waktu berdepan tindakan - Anthony Loke

Kerajaan melalui Mavcom bercadang untuk mengambil tindakan kepada syarikat penerbangan yang gagal mematuhi kod perlindungan pengguna penerbangan Malaysia berkait tidak menepati waktu. - Foto Bernama
Kerajaan melalui Mavcom bercadang untuk mengambil tindakan kepada syarikat penerbangan yang gagal mematuhi kod perlindungan pengguna penerbangan Malaysia berkait tidak menepati waktu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bercadang untuk mengambil tindakan kepada syarikat penerbangan yang gagal mematuhi kod perlindungan pengguna penerbangan Malaysia berkait tidak menepati waktu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya sedang mencari pendekatan bagi meletakkan sasaran prestasi mengikut masa kepada syarikat penerbangan yang beroperasi di negara ini.

"Ini sesuatu yang kita akan cari satu pendekatan bagaimana meletakkan satu sasaran prestasi mengikut masa (on time performance).

"Kalau mereka tidak dapat mencapai prestasi mengikut masa itu, maka kemungkinan ada sesuatu tindakan yang akan diambil," katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) tentang apakah kerajaan akan memberikan amaran dan mendenda syarikat penerbangan yang gagal menepati waktu.

Anthony Loke menjelaskan, kelewatan penerbangan berlaku disebabkan pelbagai faktor dan ada antaranya di luar kawalan syarikat penerbangan seperti cuaca.

"Cuaca umpamanya. Macam mana nak kawal cuaca? Kalau cuaca tak baik, kapal terbang macam mana nak terbang? Jadi itu kena difahami. Bukannya syarikat-syarikat penerbangan sengaja melewatkan penerbangan mereka.

"Tetapi saya setuju ada banyak perkara yang perlu kita tambah baik dan perlu kita perbaiki," ujarnya.

Artikel Berkaitan: