Syor wajibkan 70 peratus barangan bantuan kerajaan daripada produk bumiputera

Ameer Ali Mydin menyampaikan perbentangan bertajuk Pengukuhan Industri Halal pada KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama
Ameer Ali Mydin menyampaikan perbentangan bertajuk Pengukuhan Industri Halal pada KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan disaran mewajibkan 70 peratus pembelian barangan bagi program bantuan rasmi kerajaan seperti kotak banjir, bakul makanan dan Jualan Rahmah adalah terdiri daripada produk halal milik bumiputera.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, saranan itu, antara yang dikemukakan pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, adalah bagi membantu syarikat atau premis perusahaan halal milik bumiputera di Malaysia.

Beliau berkata, ini kerana setakat Disember lepas, sebanyak 38.7 peratus atau 3,562 daripada 9,162 jumlah keseluruhan syarikat halal adalah milik bumiputera, namun hampir keseluruhan premis perusahaan kategori itu berada di belakang rumah yang tidak memenuhi syarat pensijilan halal.

"Pemilik perusahaan terlalu bergantung kepada hasil sara diri bagi membolehkan aktiviti perniagaan harian. Pada masa sama, kita tahu bahawa kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan banyak menyalurkan bantuan.

"Jadi, kita perlu menjadikan ia sebagai satu dasar, barang bumiputera diberikan sebagai pilihan pertama (untuk program bantuan rasmi kerajaan),” katanya ketika membentangkan resolusi itu.

Ameer turut mencadangkan supaya Program Transformasi Perniagaan Halal dilaksanakan melalui aktiviti penilaian ketersediaan dan bimbingan perniagaan antara lain dengan mewujudkan sistem tier dan laluan hijau bagi memudahkan bumiputera memperoleh sijil halal.

Beliau turut mengesyorkan agar menyediakan dana pembiayaan khusus seperti pendanaan awam atau wakaf untuk menambah baik perusahaan bumiputera.

"Turut dicadangkan ialah menyediakan premis atau fasiliti perindustrian yang menepati pensijilan halal melalui kerjasama rakan strategik seperti agensi, pihak berkuasa tempatan dan institusi kewangan.

Artikel Berkaitan:

"Pengiktirafan khas juga perlu diwujudkan kepada perusahaan yang meliputi promosi bersepadu antara agensi,” katanya.

KEB 2024, yang berlangsung hari ini hingga 2 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, dijangka mencungkil potensi teknologi dan peluang baharu bidang ekonomi bagi memperkasakan bumiputera di negara ini. - Bernama

@sinarharianonline

Syor wajibkan 70 peratus barangan bantuan kerajaan daripada produk bumiputera #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Mydin #Kerajaan #Bumiputera #Bantuan #Halal

Mission Impossible Theme (Movie Trailer Mix) - Dominik Hauser