Jualan Rahmah 'dekat' di hati rakyat

Harga barangan keperluan Jualan Rahman seperti beras super spesial, ayam, gula putih premium dan minyak masak jauh lebih rendah. - Gambar hiasan
Harga barangan keperluan Jualan Rahman seperti beras super spesial, ayam, gula putih premium dan minyak masak jauh lebih rendah. - Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Jualan Rahmah yang diadakan di negeri-negeri terus menjadi tumpuan penduduk sekitar jualan itu diadakan untuk membeli barang-barang keperluan dengan harga yang lebih murah.

Tinjauan Bernama di Jualan Rahmah Bergerak di pekarangan Masjid Nurul Iman, Kurong Batang di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong di sini pada Khamis mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang datang ke jualan itu membeli barang-barang keperluan dapur mereka.

Harga barangan keperluan Jualan Rahman seperti beras super spesial, ayam, gula putih premium dan minyak masak jauh lebih rendah iaitu beras gred super import 5 kilogram (kg) dijual RM13.50, ayam (RM10 seekor), gula (RM3) dan minyak masak 5kg (RM25).

Faridah Baharom, 49, berkata, beliau tidak akan melepaskan peluang untuk ke Jualan Rahmah sekiranya ada di sekitar kawasan itu dan setakat ini kira-kira 10 kali telah mengunjungi program jualan sedemikian untuk membeli barangan dapur.

"Jualan Rahmah ini murah banyak berbanding kalau saya beli di pasar raya, beli ayam baru RM10 seekor, tak kira berapa berat pun, dua kg ayam pun harga tetap sama.

"Lagi satu mudah saya nak datang, (contoh) hari ini jualan di masjid ini dalam lima minit saja saya nak mai (datang)," katanya ketika ditemui Bernama di Jualan Rahmah Bergerak di perkarangan masjid itu pada Khamis.

Berkongsi pendapat sama, Rohayu Kamis, 45, berkata, beliau sememangnya akan singgah untuk membeli barang-barang keperluan setiap kali melihat lori Jualan Rahmah Bergerak di sekitar kawasan berkenaan.

"Bagi saya kalau beli barang dapur di Jualan Rahmah ini jimat lagi, contoh beli kicap di kedai biasa tak sama macam di sini...dalam RM2.50 saja sebotol. Kadangkala saya tidak tahu ada Jualan Rahmah Bergerak ini, tetapi kalau saya nampak lori ini saya akan mai la, ini kali kelima dah mai jualan seperti ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ainur Ahmad, 55, pula berkata, beliau suka membeli barangan keperluan di Jualan Rahmah kerana boleh mendapatkan barang-barang pada harga lebih murah.

"Kalau buat (Jualan Rahmah) di tempat lain pun saya akan pergi beli di situ, hari ini Jualan Rahmah ini buat dekat saja, seronok la membeli sebab di Jualan Rahmah ini harga murah lagi daripada kedai," katanya.

Berdasarkan Jadual Penganjuran Program Jualan Rahmah di Perlis bagi November 2023 yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, Program Jualan Rahmah berlangsung di dua DUN di negeri itu hari ini iaitu di Masjid Nurul Iman (DUN Bintong) dan Masjid Ameer Fawwaz (DUN Simpang Empat). - Bernama