Kerajaan capai sasaran defisit fiskal pada 2023 - MoF

Kerajaan berjaya mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak lima peratus daripada KDNK atau RM91.4 bilion pada tahun 2023.
Kerajaan berjaya mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak lima peratus daripada KDNK atau RM91.4 bilion pada tahun 2023.
A
A
A

KERAJAAN berjaya mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM91.4 bilion pada tahun 2023, lebih rendah berbanding 5.6 peratus atau RM99.5 bilion yang dicatat pada 2022, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, pada Khamis, paras defisit fiskal diunjur terus berkurang kepada 4.3 peratus pada 2024 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 melibatkan pinjaman baharu berjumlah RM85.4 bilion.

"Dalam hal ini, kerajaan akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal secara berperingkat bagi memastikan kemampanan kewangan jangka masa sederhana dan panjang,” kata MoF yang menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang ingin tahu perincian mengenai kedudukan terkini hutang kerajaan, pinjaman baharu serta kadar defisit fiskal sehingga kini.

Sementara itu, jumlah keseluruhan hutang kerajaan sehingga akhir Disember 2023, adalah sebanyak RM1.17 trilion atau 64.3 peratus daripada KDNK.

Pertumbuhan hutang pada tahun 2023 ialah sebanyak 8.6 peratus lebih rendah berbanding tahun 2022 yang telah mencatatkan 10.2 peratus.

Komposisi hutang kerajaan terdiri daripada hutang dalam negeri berjumlah RM1.14 trilion atau 97.5 peratus dan pinjaman luar pesisir sebanyak RM29.8 bilion atau 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang kerajaan.

"Kedudukan pendedahan hutang dan liabiliti kerajaan pada akhir-Disember 2023 pula adalah sebanyak RM1.53 trilion atau 84 peratus daripada KDNK. Jumlah ini meliputi hutang kerajaan berjumlah RM1.17 trilion, komitmen jaminan berjumlah RM226.1 bilion dan liabiliti lain berjumlah RM133.7 bilion,” menurut MoF.

Dari segi had statutori pula, instrumen hutang yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) mencatatkan 62.1 peratus daripada KDNK, masih di bawah had statutori yang ditetapkan iaitu 65 peratus.

Artikel Berkaitan:

Manakala pinjaman luar pesisir pula berjumlah RM29.9 bilion dan Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) berjumlah RM5.5 bilion, kedua-duanya juga di bawah had statutori yang ditetapkan iaitu masing-masing RM35 bilion dan RM10 bilion.

"Kerajaan kekal komited untuk menurunkan paras hutang seperti sasaran yang telah ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) iaitu paras keseluruhan hutang di bawah 60 peratus daripada KDNK yang perlu dicapai dalam jangka masa sederhana,” menurut MoF. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28