Gabungan Kerajaan Perpaduan ada nilai keterbukaan - Johari

Johari Abdul Ghani 
Johari Abdul Ghani 
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai nilai keterbukaan, toleransi serta hubungan baik antara setiap parti gabungan terutamanya Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH), kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, semua parti gabungan sentiasa membincangkan pelbagai perkara yang menyeluruh bagi mencapai kesepakatan, meskipun hubungan persahabatan gabungan Kerajaan Perpaduan itu masih baharu.

Bagaimanapun katanya, setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu mengelak daripada membangkitkan isu-isu berkaitan kaum dan agama sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat.

"Ada parti-parti mungkin terlepas pandang dari segi sensitiviti masyarakat, kita perlu tangani perkara ini. Kadang-kadang komponen parti Barisan Nasional (BN) pun ada terlepas pandang benda-benda sensitif...jadi kita kena ada lebih toleransi daripada segi isu-isu melibatkan masyarakat.

"Perkara ini yang saya rasa perlu lebih mengimbanginya, namun sebenarnya dalam Kerajaan Perpaduan tidak ada masalah...cumanya kita perlu sentiasa berinteraksi dan kena pastikan isu yang agak sensitif itu perlu dielakkan,” katanya kepada Bernama.

Ditanya mengenai usaha untuk menarik semula sokongan orang Melayu terhadap UMNO, Johari berkata pimpinan parti perlu menyusun diri untuk mendapatkan semula kepercayaan orang Melayu terhadap parti itu.

"Pada hakikatnya kalau saya tengok UMNO ini, kita daripada (jumlah kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum) 104 kerusi, kemudian 88, 56, (sekarang) tinggal 26, tetapi kita ada 23,000 cawangan (UMNO) dan satu pun tak tutup, 191 bahagian dan satu pun tak tutup.

"Maksudnya, kita perlu susun gerakan parti dengan baik sebab mengundi (dalam pilihan raya umum) lima tahun sekali, dalam masa itu orang akan nilai kita. Kalau kita tidak buat apa orang mahukan jadi mereka ada kuasa untuk mengundi (mana-mana parti),” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28