Selangor tak tolak kemungkinan sambar Park Hang-seo

Park Hang-seo
Park Hang-seo
A
A
A

SELANGOR FC sudah mempunyai beberapa nama calon jurulatih yang akan menggantikan Tan Cheng Hoe untuk membimbing skuad Gergasi Merah itu mengharungi saingan musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, Nidzam Jamil yang ketika ini menggalas tanggungjawab sebagai pengendali sementara selain tiga jurulatih dari luar negara sedang dalam penelitian untuk mengisi kerusi panas tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat berkongsi maklumat lebih lanjut mengenai tiga calon dari luar negara itu.

Namun beliau juga tidak menafikan apabila diajukan soalan bahawa bekas pengendali Vietnam, Park Hang-seo antara calon yang berkemungkinan tersenarai.

"Tiga calon jurulatih luar negara itu belum pernah melatih pasukan dari Liga Super, tetapi kesemua mereka mempunyai profil dan pengalaman yang luas dalam kejurulatihan.

"Namun, kita tidak boleh nak kongsikan buat masa ini kerana sedang dalam proses meneliti beberapa nama," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Pada Rabu, Selangor FC mengumumkan kejutan apabila mengesahkan kelab itu dan pengendali, Tan Cheng Hoe mencapai persetujuan bersama untuk penamatan kontrak berkuat kuasa serta-merta.

Kelab itu berkata, Cheng Hoe meninggalkan Selangor FC bagi menggalas tugas sebagai ketua jurulatih di sebuah kelab di Thailand.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Johan menegaskan Nidzam antara calon utama untuk mengisi kekosongan tersebut berdasarkan pengalaman selama tiga tahun menjadi pembantu jurulatih di kelab itu.

"Pengalaman beliau sangat luas di Selangor dan beliau memahami hala tuju, memahami budaya dan pemain yang ada di Selangor.

"Beliau merupakan salah seorang calon yang akan dipertimbangkan, tapi sudah tentu perkara ini kita perlu ambil masa untuk teliti bersama beberapa calon dari luar itu," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28