KEB 2024: Usaha kerajaan tingkat ekonomi bumiputera - Ahmad Jazlan

Ahmad Jazlan
Ahmad Jazlan
A
A
A

KOTA BHARU - Usaha kerajaan memperkasakan semula agenda ekonomi bumiputera dalam kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menerusi Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) dapat meningkatkan persaingan ekonomi dengan bangsa lain.

Pengerusi UMNO negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yakin, KEB 2024 akan memberi impak positif kepada semua pemain industri dengan mengambil kira pembaharuan teknologi digital, automasi serta keperluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"KEB 2024 juga akan meningkatkan penguasaan bumiputera dalam sektor ekonomi," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Felcra Berhad memberitahu, GLC itu menyahut saranan kerajaan untuk menjadi antara pengeksport kelapa sawit terbesar di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ahmad Jazlan turut berpendapat, KEB 2024 kali ini akan dapat mencapai kegemilangan buat ekonomi negara dengan kerjasama saling membahu antara bangsa yang lain.

"Saya turut menyambut baik cadangan Penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera yang tentunya akan menaikkan peratusan bumiputera dalam pegangan hartanah negara," katanya.

KEB 2024 memberi tumpuan kepada 10 kumpulan membabitkan sektor Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, Institusi Pendidikan Teknikal, Pendidikan dan Latihan Vokasional (Pilihan Kerjaya Utama) dan Pemantapan Industri Halal, Pembangunan Luar Bandar dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli.

Tumpuan lain termasuk Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat, Daya Saing Perusahaan Bumiputera, Penguasaan Teknologi Baharu, Felda dan Tanah Wilayah Persekutuan, Sosioekonomi Bumiputera Sabah dan Sosioekonomi Bumiputera Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28