Exco cadang caj kutipan sampah dinaikkan

Suee Lim (gambar kecil) mencadangkan kadar caj kutipan sampah ditingkatkan bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat Selangor. Gambar hiasan
Suee Lim (gambar kecil) mencadangkan kadar caj kutipan sampah ditingkatkan bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat Selangor. Gambar hiasan
A
A
A

SELAYANG - Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim mencadangkan kadar caj kutipan sampah ditingkatkan bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat Selangor.

Suee Lim berkata, kadar semasa dikenakan bagi setiap rumah di Selangor sebanyak RM7 sebulan berbanding RM14.80 bagi kawasan Kuala Lumpur.

Menurutnya, kadar tersebut sudah mampu menguruskan kutipan sampah namun masih berada di bawah paras kos.

"Saya yakin isu sampah di Selangor mampu ditangani dengan lebih baik jika kadar ini ditingkatkan.

"Malah keyakinan masyarakat terhadap kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis menandatangani surat setuju terima (SST) lanjutan kontrak antara Majlis Perbandaran Selayang dengan KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi perkhidmatan kutipan sampah, pada Rabu.

Jelasnya, kajian semula kadar tersebut mampu membantu meningkatkan perkhidmatan kontraktor lebih cemerlang dan teratur.

"Ini kerana kadang kala, kontraktor hadapi kesukaran kerja disebabkan kewangan terhad disebabkan inflasi serta faktor lain.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan itu, kadar perlu dinaikkan dan jika ada lebihan boleh digunakan untuk program tanggungjawab jawa sosial korporat (CSR) seperti pemberian tong sampah percuma bagi kawasan perumahan yang perlukan kos besar iaitu sehingga RM60 juta," katanya.

Bagaimanapun katanya, perkara itu masih di peringkat cadangan yang akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

"Kertas cadangan tersebut akan dibawa MMKN. Jika diluluskan akan diteruskan ke peringkat perbincangan kepada KPKT.

"Proses perbincangan tersebut dijangka mengambil masa setahun," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!