Lelaki cedera ditetak, motosikal dilarikan empat penyamun

Suspek ditahan selepas disyaki melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata dalam kejadian di Balung.
Suspek ditahan selepas disyaki melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata dalam kejadian di Balung.
A
A
A

TAWAU - Empat lelaki termasuk tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai terlibat dalam kes samun berkumpulan menggunakan parang ditahan sehari selepas melakukan jenayah tersebut di Balung, dekat sini.

Dalam kejadian 22 Februari lalu, mangsa lelaki berusia 37 tahun cedera di bahagian tangan kiri akibat ditetak oleh suspek, manakala motosikalnya telah dilarikan kumpulan penjenayah tersebut.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan kejadian itu satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa.

"Menurut mangsa, dia didatangi sekumpulan lelaki dan telah dipukul serta ditetak di tangan kiri menggunakan parang manakala motosikalnya turut dilarikan.

"Hasil maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya mengesan empat lelaki berusia antara 23 hingga 41 tahun dan kesemua mereka ditahan secara berasingan bermula 23 Februari lalu bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Jasmin, hasil siasatan awal mendapati tiga daripada suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.

"Selain itu, salah seorang lagi suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

"Sebuah motosikal turut berjaya dirampas dalam tangkapan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Jasmin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan bersenjata.