Putera Harry ‘tarik diri’ menjadi keluarga Diraja

Putera Harry dan Meghan akan membahagikan masa antara UK dan Amerika Utara.- Foto: Sumber Getty
Putera Harry dan Meghan akan membahagikan masa antara UK dan Amerika Utara.- Foto: Sumber Getty
A
A
A

UNITED KINGDOM – Putera Harry dan Meghan Markle dikatakan mahu mengundurkan diri untuk tidak lagi bersama keluarga Diraja dan mahu hidup berdikari.

Menurut laporan Mirro.co.uk, perkara tersebut diumumkan dalam satu kenyataan menerusi The Duke and Duchess di laman Instagram mereka Rabu lalu.

Dalam kenyataan itu, pasangan itu mendedahkan mereka akan berpindah ke Amerika Utara tahun ini.

“Selepas berfikir panjang dan melakukan perbincangan selama berbulan, kami memilih untuk melakukan peralihan pada tahun ini bagi memulakan peranan baharu yang progresif dalam kehidupan kami.

“Kami berhasrat meninggalkan keluarga Diraja dan bekerja secara bebas sambil terus memberi sokongan penuh kepada Ratu Britain, Elizabeth II.

“Melalui sokongan Ratu, terutamanya sejak kebelakangan ini, kami sedia membuat perubahan. Kami kini merancang untuk membahagikan masa antara United Kingdom dan Amerika Utara dan terus menghormati tugas kami kepada Ratu,” katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu lalu.

Pasangan itu turut membincangkan mengenai masa depan anaknya, Archie dan rancangan mereka untuk membesarkannya dengan memberi penghargaan kepada tradisi Diraja.

“Keseimbangan geografi membolehkan kami membesarkan anak dengan menghargai tradisi Diraja kerana dia telah dilahirkan sebagai kerabat Diraja di samping memberi peluang kepada keluarga kami untuk memberi tumpuan kepada langkah seterusnya.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak sabar untuk berkongsi butiran penuh mengenai langkah seterusnya kerana kami akan terus bekerjasama dengan Yang Mulia Ratu, Putera Wales, The Duke of Cambridge dan semua pihak yang berkaitan. Terima kasih atas sokongan anda yang berterusan,” katanya.

Putera Harry dan Meghan baru sahaja kembali ke United Kingdom selepas bercuti selama enam minggu di Kanada.

Pasangan itu kini didakwa oleh masyarakat di United Kingdom bahawa mereka akan lebih banyak membahagikan masa antara Kanada dan United Kingdom dan tidak lagi menggunakan gelaran Diraja (Her Royal Highness).

Selepas pengumuman mengejutkan itu dikeluarkan, Ratu Elizabeth II melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ratu Britain memberi amaran terhadap kenyataan tersebut yang menceritakan permasalahan sulit sedang berlaku.

“Kami memahami keinginan mereka untuk mengambil pendekatan yang berbeza, tetapi ini adalah masalah rumit yang akan mengambil masa yang lama untuk dibincangkan,” katanya.

Sementara itu, sumber istana memberitahu ahli keluarga Diraja yang tidak tahu mengenai pengumuman itu telah membuat mereka terguris dengan kenyataan Putera Harry.