Sistem solar dapat bantu pusat tahfiz jimat elektrik

Selain mengurangkan kos penggunaan elektrik, tenaga solar boleh memberi manfaat dalam beberapa cara yang berbeza kerana ia adalah sumber yang berpanjangan. - Gambar hiasan
Selain mengurangkan kos penggunaan elektrik, tenaga solar boleh memberi manfaat dalam beberapa cara yang berbeza kerana ia adalah sumber yang berpanjangan. - Gambar hiasan
A
A
A

Penggunaan sistem solar di bangunan awam termasuk masjid di negara ini semakin meningkat dengan tujuan utama mengurangkan perbelanjaan bil elektrik sehingga 50 peratus.

Penjimatan tersebut penting bagi membantu pihak pengurusan mengawal kos operasi tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan dan kemudahan demi keselesaan jemaah.

Ini kerana, bil elektrik antara bayaran tertinggi yang perlu ditanggung setiap bulan terutama bagi masjid berkapasiti besar dan menggunakan banyak alat pendingin udara.

Ketika ini masjid utama di setiap negeri memiliki sistem solar dan ada antaranya adalah masjid hijau yang berkonsepkan kelestarian alam.

Reka bentuk dibina bagi memaksimumkan penggunaan sumber tenaga hijau seperti solar dan angin bagi mengurangkan kesan negatif ke atas alam sekitar.

Melihat kepada keberkesanan memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui itu, pemasangan sistem solar wajar diperluaskan ke institusi tahfiz yang sering berdepan masalah tunggakan bil elektrik.

Ini dapat mengelak tindakan meminta sumbangan orang ramai bagi melunaskan bayaran bil tersebut yang sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan lain melibatkan kebajikan pelajar.

Sekiranya pihak tahfiz sering mengalami masalah tunggakan bil, ia akan mengundang persepsi negatif masyarakat mengenai keupayaan menguruskan institusi itu.

Artikel Berkaitan:

Bagi menampung kos pemasangan awal panel solar, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan secara infak atau menerusi kerjasama dengan syarikat korporat seperti mana dilaksanakan di masjid.

Meskipun terdapat bangunan tahfiz yang mempunyai sistem solar namun bilangannya masih rendah berbanding jumlah institusi di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman.

Selain mengurangkan kos penggunaan elektrik, tenaga solar boleh memberi manfaat dalam beberapa cara yang berbeza kerana ia adalah sumber yang berpanjangan.

Negara ini menerima kadar cahaya matahari tinggi dan suhu harian antara 23 hingga 34 darjah Celsius yang begitu sesuai bagi pemasangan solar panel di bumbung premis bangunan dan kediaman.

Penggunaan solar di bangunan kerajaan dan kediaman domestik juga sedang dipergiatkan selari dengan usaha kerajaan dalam penstrukturan sektor tenaga daripada campuran tenaga elektrik kepada tenaga boleh baharu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!