Kerajaan sasar bentang Akta Anti-Ali Baba pada akhir 2024

Kerajaan kini dalam proses melaksanakan kajian kerangka Akta Anti-Ali Baba dan menyasarkan akta itu dibentangkan di Dewan Rakyat akhir tahun ini.
Kerajaan kini dalam proses melaksanakan kajian kerangka Akta Anti-Ali Baba dan menyasarkan akta itu dibentangkan di Dewan Rakyat akhir tahun ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan kini dalam proses melaksanakan kajian kerangka Akta Anti-Ali Baba dan menyasarkan akta itu dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada akhir 2024, kata Kementerian Ekonomi.

Dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu, kementerian berkata, proses kajian itu termasuk mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan.

"Tujuannya bagi mendapatkan perspektif yang jelas mengenai isu berkaitan Ali Baba. Ini berikutan isu berkenaan merentasi pelbagai sektor serta (memerlukan) tindakan undang-undang yang bersesuaian,” katanya.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Datuk Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai perkembangan terkini berkaitan perkara itu dan soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) berhubung rasional memperkenalkan akta terbabit.

Pada Disember lepas, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan undang-undang anti-Ali Baba yang membolehkan tindakan tegas diambil terhadap rakyat tempatan yang ‘menyewakan’ lesen perniagaan kepada pekerja asing tanpa menepati syarat ditetapkan.

Dalam pada itu, Kementerian Ekonomi berkata, cadangan Akta Anti-Ali Baba itu dibuat selepas kerajaan mendapati tiada undang-undang berkaitan pada masa ini yang dapat membendung isu terbabit secara menyeluruh dan berkesan.

Malah, akta sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009; Akta Persaingan 2010; Akta Syarikat 2016 serta undang-undang kecil sedia ada masih tidak mencukupi untuk membendung aktiviti Ali Baba.

"Kerajaan juga mendapati perlakuan atau aktiviti Ali Baba ini boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi dengan meningkatkan kos operasi, menjejaskan kualiti produk dan perkhidmatan serta melebarkan jurang ketidaksamaan dalam masyarakat atau ekonomi,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28