Penunggang motosikal 'melambung' maut dirempuh kereta potong kenderaan

Tangkap layar video kejadian menunjukkan penunggang motosikal melambung tinggi selepas dirempuh sebuah kereta ketika memotong kenderaan lain di Batu 21, Jalan Muar- Parit Sulong, pada Selasa.
Tangkap layar video kejadian menunjukkan penunggang motosikal melambung tinggi selepas dirempuh sebuah kereta ketika memotong kenderaan lain di Batu 21, Jalan Muar- Parit Sulong, pada Selasa.
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas dirempuh sebuah kereta yang memotong kenderaan di Batu 21, Jalan Muar- Parit Sulong, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian pada jam 7 pagi itu, mangsa, Mohd Riduan Abdullah, 58, yang menunggang motosikal Benelli melambung setinggi tiang elektrik selepas dirempuh dan video kejadian itu tular di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian kereta Toyota Vios dari arah Muar sedang memotong sebuah kenderaan lain dan telah bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa dari arah hadapan.

Keadaan motosikal berkuasa tinggi selepas terbabit kemalangan di Batu 21, Jalan Muar- Parit Sulong, pada Selasa. - Foto PDRM
Keadaan motosikal berkuasa tinggi selepas terbabit kemalangan di Batu 21, Jalan Muar- Parit Sulong, pada Selasa. - Foto PDRM

Menurutnya, akibat pelanggaran itu mangsa yang beralamat di Merlimau, Melaka mengalami cedera parah di bahagian dada dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Lelaki tempatan berumur 24 tahun yang memandu Toyata Vios mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan kaki.

"Ujian saringan awal air kencing ke pemandu tersebut mendapati tiada mengandungi sebarang jenis dadah.

"Pemandu yang beralamat di Muar itu telah ditahan dan diberi jamin polis pada Selasa, selepas diambil kenyataan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Keadaan kereta dalam parit selepas terbabit kemalangan. Foto PDRM
Keadaan kereta dalam parit selepas terbabit kemalangan. Foto PDRM

Menurut Shahrulanuar Mushaddat, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum itu, satu video rakaman kamera pemuka (dashcam) yang memaparkan kejadian kemalangan itu tular, menyebabkan penunggang motosikal melambung tinggi dan kereta terbabas dan terjunam ke dalam parit.