Peserta konvoi motosikal berkuasa tinggi maut terbabas

Orang awam dan anggota polis yang membantu mengalihkan motosikal berkuasa tinggi milik mangsa.
Orang awam dan anggota polis yang membantu mengalihkan motosikal berkuasa tinggi milik mangsa.
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang peserta konvoi maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 47 Jalan Gua Musang-Lojing di sini pada Ahad.

Mangsa yang juga peniaga kusyen kereta, Chan Sizn Kit, 49, meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Bilik Gerakan Gua Musang berkait kemalangan itu pada jam 11.15 pagi.

Beliau berkata, mangsa yang beralamat di Kampung Subang, Shah Alam, Selangor itu menunggang motosikal jenis KTM RC8 dalam konvoi dari arah Gua Musang menuju ke Cameron Highlands, Pahang.

“Semasa sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar besi penghadang di bahu jalan.

Kenderaan polis yang tiba untuk membawa mayat mangsa ke hospital.
Kenderaan polis yang tiba untuk membawa mayat mangsa ke hospital.

“Akibat daripada itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Ahad.

Menurut beliau, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian boleh salurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Saksi juga boleh terus menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Gua Musang di talian 09-9121222 atau pegawai penyiasat 019-4742270,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!