Ketegangan antara AS-Iran cecah tahap tidak diingini

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. - Foto 123rf
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. - Foto 123rf
A
A
A

ISTANBUL - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam berkata, ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah mencecah satu tahap yang tidak pernah diingini Turki, lapor agensi berita China Xinhua.

"Tiada siapa pun berhak menjerumuskan rantau ini ke kancah yang penuh dengan api persengketaan," kata Erdogan pada majlis perasmian projek saluran paip gas asli TurkStream di Istanbul.

Pemimpin itu juga berkata, Turki akan melakukan segala usaha untuk tidak membiarkan rantau itu 'lemas dalam lautan darah dan air mata'.

Ketegangan antara AS dan Iran telah mereda selepas Iran menembak peluru berpandu yang menyasarkan pangkalan tentera AS di Iraq pada awal pagi Rabu.

"Jiran kami Iraq turut berada dalam bahaya akan kehilangan kestabilannya yang sudah pun bermasalah," kata Erdogan.

Minggu lepas, satu serangan udara yang dilancarkan AS telah meragut nyawa Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Kor Pengawal Revolusi Islam Iran berhampiran lapangan terbang Baghdad di Iraq, sekali gus memburukkan lagi hubungan antara kedua-dua negara yang sedia tegang.

Terdahulu, pada hari sama, Erdogan dan rakan sejawatnya dari Rusia Vladimir Putin mengadakan pertemuan berkaitan perkembangan terbaru di rantau itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: