Mayat dua individu dalam kereta tiada unsur jenayah

Anggota polis melakukan pemeriksaan ke atas dua mangsa yang ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta diparkir di sebuah stesen minyak di Muadzam Shah pada Selasa. Foto Bomba Pahang.
Anggota polis melakukan pemeriksaan ke atas dua mangsa yang ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta diparkir di sebuah stesen minyak di Muadzam Shah pada Selasa. Foto Bomba Pahang.
A
A
A

ROMPIN - [DIKEMAS KINI] Tiada unsur jenayah dikesan pada penemuan dua mayat termasuk seorang wanita dalam kereta yang diparkir di sebuah stesen minyak di Muadzam Shah, Rompin pada Selasa.

Mangsa, Roshashidi Abron, 41, dari Muadzam Shah manakala Norlina Seeron,43, pula dari Jempol, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Nor Azman Yusof berkata, polis menerima panggilan telefon daripada kakitangan stesen minyak berhubung penemuan mayat pada Selasa.

"Hasil semakan CCTV (kamera litar tertutup) milik stesen minyak itu mendapati mangsa memandu dan meletakkan kenderaan di kawasan parkir tersebut pada Isnin kira-kira jam 6.42 pagi.

"Mangsa juga tidak keluar daripada kenderaan terbabit. Pasukan forensik daripada IPK (Ibu Pejabat Polis Kontijen) Pahang tiba di lokasi dan hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah ke atas kedua-dua mangsa ditemui," katanya dalam satu kenyataan pasa Rabu.

Beliau berkata, kesemua barangan peribadi mangsa berada dalam kenderaan terbabit.

Nor Azman menambah mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan bagi tujuan bedah siasat.

Jelasnya, hasil daripada bedah siasat mendapati punca kematian kedua-dua mangsa dikategorikan sebagai mati mengejut manakala punca kematian sebenarnya belum diketahui dan masih menunggu laporan kimia untuk analisa toksikologi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pihak polis di talian 09-4145999.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: