Peserta himpunan Reformasi 100 Peratus berkumpul, hantar memorandum ke Parlimen

Hassan (tengah) menerima memorandum daripada Muhammad Faisal ketika perhimpunan #Reformasi 100 peratus pada Selasa.
Hassan (tengah) menerima memorandum daripada Muhammad Faisal ketika perhimpunan #Reformasi 100 peratus pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tindakan berhimpun di luar bangunan Parlimen menjadi langkah pertama dalam usaha mendesak Kerajaan Perpaduan melaksanakan reformasi yang dijanjikan.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya menuntut komitmen kerajaan melaksanakan reformasi 100 peratus, terutama melibatkan sistem pilihan raya dan institusi utama.

"Kami menggesa kerajaan menyediakan garis masa dan hala tuju bagi pelaksanaan reformasi untuk manfaat rakyat.

“Kami juga mahu kerajaan berhenti mengamalkan pemberian melepas tanpa membebaskan (DNAA) kepada mana-mana ahli politik yang dituduh (di mahkamah) kerana rasuah dan salah guna dana.

"Bersih dan rakyat Malaysia masih menunggu alasan di sebalik mengapa kes (Datuk Seri) Najib Tun Razak diutamakan berbanding ratusan lain yang memohon pengampunan diraja,” katanya ketika perhimpunan tuntutan Reformasi 100 peratus dekat sini pada Selasa.

Sebelum itu, peserta perhimpunan berkumpul seawal jam 8 pagi di Plaza Tugu Negara untuk berarak ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan.

Mereka yang berpakaian hitam dan kuning membawa plakad antaranya 'Kerajaan bersih dan adil', sambil melaungkan 'Tuntut Reformasi, Tolak DNAA, Rakyat Bangkit'.

Dalam pada itu, Muhammad Faisal berkata, matlamat akhir perhimpunan berkenaan penting untuk kerajaan menunjukkan komitmen dengan menyediakan hala tuju dan garis masa jelas dalam reformasi pilihan raya dan institusi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim turut hadir mewakili ahli Parlimen kerajaan menerima memorandum berkenaan.

Beliau dalam ucapan ringkas berkata, akan meneruskan tuntutan reformasi di Parlimen seperti yang dituntut rakyat.

"Saya tidak ada apa kepentingan, bila mati (meninggal dunia), saya akan tenang kerana reformasi ini akan diteruskan oleh orang lain.

"Kita kena berani menyatakan yang benar, membawa perubahan (walaupun) tidak mudah, terutama ujiannya apabila sudah berkuasa," katanya.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berpandangan, reformasi yang dituntut Bersih kali ini bukan mewakili mana-mana parti atau individu tetapi demi rakyat.

"Tahniah kepada Bersih atas usaha ini. Jika semua reformasi dilakukan kerajaan, saya akan berikan sokongan dan komitmen untuk menyokong," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28