Muda gesa KSM ambil tindakan sindiket tipu pekerja warga asing

Kebanjiran warga asing akibat ditipu sindiket mengakibatkan kesan yang serius terhadap imej bandar raya Kuala Lumpur serta berpotensi untuk mewujudkan lebih banyak mini Dhaka selepas ini. Gambar hiasan
Kebanjiran warga asing akibat ditipu sindiket mengakibatkan kesan yang serius terhadap imej bandar raya Kuala Lumpur serta berpotensi untuk mewujudkan lebih banyak mini Dhaka selepas ini. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (KSM) digesa bertindak segera dan mengambil langkah proaktif dalam menangani kegiatan sindiket yang menabur janji-janji manis kepada pekerja asing.

Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Wilayah Persekutuan, Shah Fariq Aizal Sha Ghazni berkata, kebanjiran warga asing akibat ditipu sindiket mengakibatkan kesan yang serius terhadap imej bandar raya Kuala Lumpur serta berpotensi untuk mewujudkan lebih banyak mini Dhaka selepas ini.

"Kuala Lumpur, yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-50, tidak seharusnya menjadi pusat kegiatan sindiket yang menabur janji-janji manis kepada pekerja asing.

"Kami menyuarakan keprihatinan mendalam berhubung laporan terkini oleh aktivis hak asasi pekerja migran, Andy Hall mengenai lebih 100 pekerja asing Bangladesh yang didakwa terpinggir di Cheras, Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, keadaan itu yang sudah berlarutan lebih tiga bulan menimbulkan kebimbangan serius berkenaan hak dan kesejahteraan pekerja terbabit, setelah gagal mendapatkan pekerjaan yang dijanjikan oleh majikan mereka iaitu sebuah syarikat pembinaan tempatan.

"Turut menjadi perhatian, 104 pekerja tersebut telah membayar yuran pengambilan yang tinggi, di antara RM19,500 hingga RM21,700, untuk mendapatkan peluang bekerja di negara ini," tambah beliau.

Bagaimanapun jelas beliau, secara realitinya, warga asing terbabit terjerat dalam bebanan hutang yang besar tanpa mendapat manfaat sebaliknya.

Selain itu, ujar beliau, KSM harus memberikan jawapan jelas dan komprehensif kepada rakyat Malaysia berhubung langkah-langkah yang akan diambil bagi menyelesaikan isu ini.

"Kami ingin bertanya apakah tindakan segera yang akan diambil oleh KSM untuk menangani krisis melibatkan lebih 100 pekerja asing Bangladesh di Cheras, Kuala Lumpur?

Artikel Berkaitan:

"Adakah pihak kementerian sedar akan isu eksploitasi yang berterusan ini telah menimpa pekerja asing sehingga tahun 2024," soal beliau.

Selain itu katanya, bagaimana KSM bertindak menangani serius isu melibatkan majikan yang tidak bertanggungjawab dengan yuran pengambilan tinggi, perampasan pasport, serta penderaan fizikal dan mental terhadap pekerja asing.

"Apakah langkah-langkah jangka panjang kerajaan untuk memastikan eksploitasi terhadap pekerja asing tidak berulang di Kuala Lumpur pada masa depan?

"Kami menyeru kerajaan untuk bekerjasama dengan pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia bagi memastikan perlindungan adil bagi pekerja migran termasuklah memperketat pelaksanaan undang-undang terhadap agensi pengambilan pekerja serta meningkatkan kesedaran dan latihan dalam kalangan pekerja asing mengenai hak mereka," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!