Chelsea perlu salahkan diri sendiri

Chelsea di bawah kendalian Mauricio Pochetinno gagal memanfaatkan peluang berdepan Liverpool yang menurunkan skuad kedua pada aksi final Piala EFL di Wembley. Foto Agensi
Chelsea di bawah kendalian Mauricio Pochetinno gagal memanfaatkan peluang berdepan Liverpool yang menurunkan skuad kedua pada aksi final Piala EFL di Wembley. Foto Agensi
A
A
A

CHELSEA perlu menyalahkan diri sendiri selepas terlepas beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol selain penurunan intensiti pada masa tambahan menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada Liverpool dalam aksi final Piala Liga.

Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino yang agak kecewa tidak mahu menyalahkan sepenuhnya pemainnya selain menyifatkan ia pengajaran berguna buat pasukan itu.

“Mereka sangat berdaya saing... Mereka (pemain Chelsea) perlu merasai kesakitannya. Tiada apa yang anda boleh beritahu saya untuk berasa lebih baik. Tiada apa-apa,” katanya.

Jurulatih Argentina itu berkata, dia melakukan beberapa perubahan pada masa tambahan seperti menggantikan Conor Gallagher dan Ben Chilwell kerana pemain itu keletihan.

“Tetapi memang benar, kami tidak mengekalkan tenaga bagaimana kami menamatkan separuh masa kedua,” tambah Pochettino.

Kapten Liverpool, Van Dijk mengambil peluang untuk menanduk masuk dari sepakan sudut dua minit sebelum masa tambahan tamat.

Ramai yang berpendapat bahawa secara keseluruhannya Chelsea menikmati peluang yang lebih baik dan mungkin mempunyai beberapa gol.

“Kami mencipta empat, lima, enam peluang besar dan kami tidak menjaringkan gol. Dalam perlawanan seperti hari ini dan dalam perlawanan akhir, kami perlu menjaringkan gol terlebih dahulu, ia adalah satu kelebihan besar.

Artikel Berkaitan:

“Kami bolos pada minit terakhir dan sukar untuk bertindak balas," katanya.

Mauricio Pochettino. Foto AFP
Mauricio Pochettino. Foto AFP

Chelsea kalah enam final domestik berturut-turut

Kekalahan Chelsea kepada Liverpool pada perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) menyaksikan The Blues muncul kelab pertama dalam sejarah bola sepak England tewas dalam enam final domestik berturut-turut di Stadium Wembley.

Rekod buruk The Blues bermula pada 2019 dalam aksi final EFL yang menyaksikan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga tidak menghiraukan arahan Maurizio Sarri ketika bertemu Manchester City.

Kepa enggan meninggalkan padang selepas Sarri mahu menggantikannya dengan Willy Caballero ketika aksi penentuan penalti.

Badi final di Wembley diteruskan Chelsea ketika berdepan jiran tetangga Arsenal pada 2020 (Piala FA) diikuti 2022 (Piala EFL), 2022 (Piala FA) dan 2024 (Piala EFL).

Secara keseluruhan, Chelsea sekadar meledak satu gol dalam enam final domestik di Wembley, situasi yang dianggap tidak sepadan dengan status kelab dibarisi pemain ternama bernilai berbilion pound.

Pengulas Sky Sports yang juga legenda Manchester United, Gary Neville turut mengkritik Chelsea terutamanya Mauricio Pochettino di atas kegagalan The Blues meraih trofi pertama musim ini.

"Di masa tambahan, ia adalah perlawananan antara budak-budak Jurgen Klopp dengan skuad pengecut The Blues yang bernilai berbilion pound.

"Pemain muda Liverpool benar-benar hebat, Klopp pasti sangat bangga.

"Bagi Chelsea, saya tiada simpati sama sekali. Prestasi mereka merudum di hadapan semua orang," ujar Neville.

Kekalahan pada Ahad menandakan kekalahan ketiga berturut-turut Chelsea di tangan Liverpool dalam final domestik.

Untuk rekod, Pochettino yang tiba di England pada 2013 turut gagal meraih sebarang trofi bersama Southampton dan Tottenham Hotspur.