RM5 juta bantu perkukuh institusi pendidikan Islam di Perak

Saarani ketika menjawab soalan lisan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Isnin.
Saarani ketika menjawab soalan lisan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menyediakan peruntukan RM5 juta bagi tujuan baik pulih dan bina baharu institusi pendidikan Islam di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan itu merangkumi Tadika Islam Perak, Sekolah Agama Rakyat dan tahfiz dalam usaha memperkukuh lagi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di institusi berkenaan.

Menurutnya, peruntukan itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam membangunkan sahsiah anak watan menerusi sistem pendidikan yang disediakan oleh Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

"Kerajaan negeri juga telah menyalurkan beberapa bantuan lain seperti bantuan perkapita kepada 89,226 murid KAFA dengan kadar RM50 setahun dan bantuan perkapita daripada Majlis Agama Islam dan Ádat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM24.

"Tambahan elaun juga diberikan kepada 3,210 guru KAFA sebanyak RM200 sebulan," katanya menjawab soalan lisan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.

Saarani berkata, sehingga kini terdapat sejumlah 8,715 kelas KAFA beroperasi di 659 sekolah rendah agama rakyat (SRAR) dan SRAR sepenuh masa di seluruh negeri.

Katanya, semua sekolah itu diurus tadbir oleh Jemaah Pengurusan Sekolah yang terdiri daripada kalangan masyarakat setempat.

"Jemaah Pengurusan Sekolah bertanggungjawab menyediakan prasarana serta kemudahan-kemudahan bagi memastikan keselesaan murid KAFA," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah mewujudkan kelas KAFA Tulen beroperasi di enam sekolah kebangsaan terpilih.

Ujarnya, kelas berkenaan diwujudkan di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan jaraknya jauh dari kelas KAFA sedia ada dengan bilangan murid keseluruhan seramai 286 orang dan tenaga pengajar 10 guru.

"Kelas KAFA Tulen melaksanakan kurikulum KAFA Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), sama seperti kurikulum yang diguna pakai di SRAR Intergrasi KAFA yang lain.

"Kerajaan negeri akan menambah perlaksanaan kelas ini daripada semasa ke semasa berdasarkan keperluan pendidikan agama di sesuatu kawasan sebagai usaha memastikan tiada murid yang tercicir mengikuti kelas KAFA di seluruh negeri," katanya.

Enam sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Selama, Selama; SK Sungai Ramai, Ayer Tawar; SK Dato’ Sagor, Kampung Gajah; Pusat Kebajikan Taman Seri Puteri, Batu Gajah; SK Ulu Slim, Slim River dan SK Kumpulan Ganda, Teluk Intan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28