Sultan Ibrahim berangkat rasmikan Istiadat Pembukaan Parlimen

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dataran Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dataran Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada jam 10 pagi di Dataran Parlimen disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka berdua ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal.

Ini merupakan istiadat pembukaan Parlimen pertama oleh Sultan Ibrahim, sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas.

Sejurus tiba di Dataran Parlimen Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofia kemudian diiringi ke Penterana Diraja dan menerima sembah 'Hormat Diraja' oleh pasukan Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Lagu Negaraku kemudiannya dimainkan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diikuti tembakan meriam 21 das dari pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat), Kem Sungai Buloh, Selangor.

Sultan Ibrahim kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama dan seterusnya berangkat semula ke Penterana Diraja dan menerima sembah 'Hormat Diraja' buat kali kedua, sebelum lagu Negaraku dimainkan sekali lagi.

Artikel Berkaitan:

Selesai istiadat berkenaan, pasangan diraja diiringi ke Bilik Rehat Diraja di bangunan Parlimen sebelum ke sidang Dewan Rakyat untuk menyampaikan Titah Diraja, yang merupakan titah sulung Sultan Ibrahim selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lepas.

Istiadat berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen dan platform dalam talian.

Berdasarkan takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung 19 hari dengan tumpuan utama adalah perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Sidang Dewan Negara pula dijadual berlangsung 18 Mac hingga 4 April ini. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!