Perniagaan pernah jatuh merudum, Amalina cekal usahakan pusat terapi

Nurul Amalina bersama suami tercinta.
Nurul Amalina bersama suami tercinta.
A
A
A

SHAH ALAM - Bermula dengan 'zero' tanpa pinjaman bank, Nurul Amalina Mustapa, 40, berusaha mengumpul modal sendiri sedikit demi sedikit selama tiga tahun untuk membuka sebuah pusat terapi.

Akhirnya pada Januari 2012 menjadi detik indah buat wanita cekal berkenaan kerana impian menjalankan perkhidmatan akupunktur, bekam dan urutan saraf menjadi kenyataan biarpun hanya dari rumah ke rumah.

Bermula detik itu Nur Amalina menyusun langkah menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam dunia perniagaan sehingga berjaya membuka dua pusat terapi.

Pun begitu, ibarat pepatah 'disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari', ibu kepada dua cahaya mata itu terpaksa akur apabila premis miliknya perlu ditutup sepenuhnya ketika wabak Covid-19 melanda dunia pada 2020.

Bercerita mengenai pengalaman jatuh bangun perniagaannya, menurut Nur Amalina, orang yang setia menemani dirinya adalah suami, Ali Hussain, 42, dan adik-beradik.

Nurul Amalina dan dua cahaya matanya.
Nurul Amalina dan dua cahaya matanya.

“Suami banyak membantu dari segi kewangan, moral dan idea, adik beradik juga semua dikerah menjadi pekerja kami sehinggalah saya dapat melatih pekerja sendiri.

"Penerimaan dan permintaan sangat menggalakkan namun apabila datangnya ancaman Covid-19, kami adalah antara bidang yang disekat beroperasi paling lama dan ketat.

Artikel Berkaitan:

“Pekerja hilang sumber pencarian terutama abang dan kakak ipar saya yang dalam bidang sama, kami terpaksa berkongsi apa sahaja yang ada asalkan boleh bertahan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Katanya, pada ketika itu kewangan perniagaannya sangat teruk sehingga terpaksa menggunakan simpanan peribadi.

Ujar usahawan itu lagi, sabar dan percaya kepada yang Maha Esa adalah kunci berhadapan keadaan getir seperti itu.

“Dari segi kewangan memang parah, pemilik premis hanya bantu pada awalnya sahaja, dua tahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukannya jangka masa yang pendek, akhirnya pusat terapi saya ditutup sepenuhnya.

“Ada pelangan yang sanggup meredah sekatan PKP ketika itu untuk dapatkan khidmat terapi namun demi keselamatan anak dan keluarga saya akur tidak menjalankan sebarang perkhidmatan.

“Selepas PKP berakhir, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mula mengumumkan pusat terapi dibuka, barulah saya berani menerima pelanggan namun hanya menyediakan perkhidmatan di rumah sahaja," ujar Amalina.

Bicaranya lanjut, memandangkan kos sara hidup yang tinggi beliau terpaksa bertindak demikian, biarpun hanya dari rumah asalkan ia boleh menjana pendapatan dan perkhidmatannya dijalankan sehingga kini.

Nurul Amalina Mustapa
Nurul Amalina Mustapa

Katanya juga, bidang terapi tersebut memang sebati di jiwanya dan mengakui merasa puas hati apabila melihat pelanggan sihat.

Tanam impian buka pusat rehabilitasi

Dalam merancang hala tuju perniagaan, wanita berjiwa besar itu menanam impian untuk membuka sebuah pusat rehabilitasi suatu hari nanti.

Justeru buat wanita di luar sana yang mempunyai impian menceburkan diri dalam perniagaan, pesan Amalina, dalam hidup ini tiada kejayaan tanpa pengorbanan.

“Rezeki tu ALLAH SWT sudah tetapkan, betulkan niat dan jalan terus jika mahu berjaya tak ada yang mustahil tapi pengorbanan perlu untuk dapatkan sesuatu.

“Sentiasa terbuka, terima pendapat orang sekeliling dan berbincang di samping banyak membaca serta berukhuwah," ujarnya.

Tambahnya, sentiasalah menjaga pelanggan kerana kadang-kadang mereka banyak memberi idea dan nasihat, jangan lupa juga hubungan dengan ALLAH hendaklah selalu dipelihara.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28