'Konsert kontroversi malam Nisfu Syaaban tiada kebenaran' - Exco Kedah

Tangkap layar video didakwa konsert yang diadakan di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada malam Sabtu. Mansor Zakaria (kiri).
Tangkap layar video didakwa konsert yang diadakan di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada malam Sabtu. Mansor Zakaria (kiri).
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah tidak pernah menerusi mana-mana agensi di bawah pentadbirannya memberi permit atau kelulusan untuk konsert kontroversi dikenali sebagai ‘Choii Underground Music Tour Kedah 2.0’ yang diadakan di Taman Jubli Emas, di sini pada malam Nisfu Syaaban.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, terdapat permohonan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri namun dalam permohonan itu, tidak dinyatakan mengenai cadangan konsert atau pertunjukan pentas seperti itu.

Menurutnya, penganjur memohon untuk mengadakan karnival jualan dan acara-acara yang dibenarkan mengikut garis panduan kerajaan negeri sahaja dan permohonan itu yang diluluskan.

“Justeru penganjuran konsert adalah tanpa kebenaran mana-mana agensi kerajaan negeri dan ini adalah satu pelanggaran syarat yang sangat serius oleh pihak penganjur.

“Kerajaan negeri akan memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan berkaitan dengan perkara ini dan akan memutuskan tindakan susulan mengikut undang-undang selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas penganjuran sebuah konsert yang diadakan di Taman Jubli Emas, di sini pada malam Sabtu yang mendapat pelbagai reaksi netizen di laman sosial kerana tidak menghormati malam Nisfu Syaaban.

Jelas Mansor, mana-mana pihak yang melanggar syarat setelah diberikan kelulusan untuk menganjurkan sesuatu acara, akan disenaraihitamkan daripada terlibat dalam apa jua program di negeri ini pada masa akan datang.

Sementara itu, penganjur kepada ‘Choii Underground Music Tour Kedah 2.0’ dikenali Faris Azrii turut tampil memohon maaf melalui sebuah video di melalui laman TikToknya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, isu tersebut yang berlaku pada malam Nisfu Syaaban adalah atas kesilapan pihaknya yang terlepas pandang tentang perkara tersebut.

“Apa yang berlaku ini memang tidak melibatkan mana-mana badan kerajaan dan memang salah pihak kami. Tidak melibatkan mana-mana kerajaan dan saya betul-betul mohon maaf kepada kerajaan Kedah.

“Tentang isu terkinja-kinja dan melompat-lompat itu juga saya mohon maaf kerana saya membawa hip-hop ke bumi Kedah tapi ini kejadian pada hari Jumaat bukan Sabtu. Tapi kita juga adakan konsert dan itu kesalahan di pihak kami juga,” katanya.

Tambahnya, sebagai anak muda yang terlibat dalam dunia usahawan, dia juga tidak terlepas dengan kesilapan yang dilakukan secara tidak sengaja.

Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28