Tidak sensitif anjur konsert hiburan di malam Nisfu Syaaban

Tangkap layar video didakwa konsert yang diadakan di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada malam Sabtu.
Tangkap layar video didakwa konsert yang diadakan di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada malam Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Penganjuran sebuah konsert di Taman Jubli Emas dekat sini pada malam Sabtu mendapat pelbagai reaksi netizen di laman sosial kerana tidak menghormati malam Nisfu Syaaban.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berkata, penganjur perlu lebih sensitif dan memilih tarikh lain bagi mengelakkan salah faham berlaku di dalam masyarakat.

Menurutnya, beberapa video berkaitan persembahan tersebut kini telah tular di platform media sosial seperti laman X, Facebook dan TikTok.

“Bagi saya penganjur perlu lebih sensitif pada masa hadapan. Program anak muda harus ada tapi seeloknya dianjurkan pada waktu atau tarikh yang sesuai.

“Sebagai penganjur, mereka perlu lebih peka supaya kemahuan anak muda tidak disalah anggap oleh kelompok masyarakat lain, yang pasti saya yakin tidak ada sesiapa bersetuju konsert hiburan di waktu malam Nisfu Syaaban,” katanya pada Ahad.

Tambahnya, pihak berkuasa yang memberi lesen bagi penganjuran program juga harus berwaspada dan berhati-hati dalam meluluskan program sebegini.

Tangkap layar video didakwa konsert yang diadakan di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada malam Sabtu.
Tangkap layar video didakwa konsert yang diadakan di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada malam Sabtu.

Sebelum itu, tular di media sosial beberapa video berkaitan konsert tersebut memaparkan anak muda yang sedang menonton persembahan berkenaan pada malam Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Video itu juga memaparkan ada juga penonton yang melompat-lompat sambil menyanyi mengikut persembahan oleh penyanyi di atas pentas.

Sementara itu, seorang penceramah bebas, Ustaz Jafri Abu Bakar Al Mahmoodi di Facebook rasminya mengakui secara peribadi kecewa dengan penganjuran konsert-konsert pada malam Nisfu Syaaban.

Tidak menamakan mana-mana konsert, menurutnya, seharusnya pada malam Sabtu diraikan dengan melakukan ibadat, memohon keampunan dan banyak berdoa kepada ALLAH SWT.

“Saya tengok di media sosial, viral beberapa lokasi konsert termasuk konsert besar dari luar negara yang terkenal dengan mempromosikan LGBT di luar negara.

“Tapi malangnya, kita sambut malam Nisfu Syaaban dengan konsert di beberapa tempat di Malaysia ini. Saya tidak boleh terima dan saya rasa bertanggungjawab untuk memberikan nasihat kepada diri saya dan umat Islam seluruhnya,” katanya.