Cubaan 24 PATI masuk Malaysia guna laluan tikus gagal

Antara PATI yang ditahan di kedudukan 4.1 batu nautika barat Sungai Janggut pada Ahad.
Antara PATI yang ditahan di kedudukan 4.1 batu nautika barat Sungai Janggut pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor berjaya menggagalkan cubaan sebuah bot kayu yang membawa 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke negara ini dengan menggunakan laluan tikus pada Ahad.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menahan bot berkenaan di kedudukan 4.1 batu nautika barat Sungai Janggut dekat sini pada jam 1.30 pagi.

"Tangkapan itu dilakukan melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) mengenai sebuah bot mencurigakan dari perairan Indonesia menuju ke perairan Pulau Angsa kira-kira jam 11.45 malam," katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Muhaimin berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rutin rondaan telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya memintas bot terbabit pada jam 12.15 tengah malam.

"Bot tersebut telah diarahkan berhenti tetapi ia bertindak cuba melarikan diri, namun dengan kecekapan pasukan operasi, bot itu berjaya ditahan," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 24 warga Indonesia dan Myanmar berada di atas bot.

"Kesemua yang ditahan ialah 10 lelaki serta empat wanita warga Indonesia dan empat lelaki termasuk seorang kanak-kanak serta enam wanita warga Myanmar berusia lapan hingga 52 tahun.

"Hasil pemeriksaan, kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan diri yang sah," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta

Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"Maritim Malaysia sentiasa memantau kemasukan PATI ke negara ini melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

"Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 untuk maklum balas segera," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28