Penolong pegawai pertanian, guru ditahan positif dadah

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan dua penjawat awam lelaki kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah melalui Ops Tapis Bersepadu dan Ops Tapis Sempadan bermula 14 Februari lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kedua-dua mereka iaitu penolong pegawai pertanian dan guru itu ditahan selepas didapati positif methamphetamin.

Menurut beliau, tangkapan penolong pegawai pertanian yang berusia 41 tahun dilakukan di sebuah rumah di Machang manakala guru berusia 42 pula ditahan di hadapan sebuah pondok dalam ladang kelapa sawit Felda di Gua Musang.

"Hasil maklumat, pegawai berkenaan ditahan pada 18 Februari kira-kira jam 7 petang.

"Suspek yang bertugas sebagai guru pula ditahan sehari selepas itu kira-kira jam 3.20 petang dan maklumat lanjut turut mendapati suspek ada rekod lampau berkaitan dadah," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Jelas Muhamad Zaki, kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada 21 Februari lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952

Beliau turut menambah, polis Kelantan akan terus berusaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah selain menggalakkan masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan dadah melalui Hotline JSJN di talian 0122087222.

Muhamad Zaki berkata, dalam operasi sama polis menahan 821 individu yang terlibat dengan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah pencegahan Khas) 1985 dan Akta Racun 1952.

Artikel Berkaitan:

Kesemua yang ditahan berusia antara 16 hingga 66 tahun dan membabitkan nilai keseluruhan rampasan berjumlah lebih RM206,367.

"Antara dadah yang dirampas ialah heroin, syabu, ganja, cecair vape dan pil psikotropik," katanya.

Katanya, cecair ketum seberat 18.65 kilogram turut dirampas.

"Pelbagai harta turut disita termasuk kenderaan dan kesemuanya dianggarkan bernilai RM95,000," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28