Tukang jahit masih terima tempahan baju raya

Tukang jahit masih menerima tempahan baju raya daripada pelanggan walaupun terpaksa bersaing dengan perniagaan pakaian siap. Gambar kecil: Nor Ain Natasya, Khoo
Tukang jahit masih menerima tempahan baju raya daripada pelanggan walaupun terpaksa bersaing dengan perniagaan pakaian siap. Gambar kecil: Nor Ain Natasya, Khoo
A
A
A

KUANTAN - Meskipun terdapat persaingan perniagaan baju siap di pasaran, namun tukang jahit dan pengusaha kedai jahit masih menerima tempahan baju raya sempena Aidilfitri pada April depan.

Walaupun jumlah tempahan dikatakan tidak sebanyak empat tahun lalu, namun mereka masih setia memberikan perkhidmatan tempahan baju dan 'alteration' pakaian daripada pelanggan.

Tukang jahit, Nor Ain Natasya Zaid, 20, mengakui sehingga kini tempahan yang diterimanya masih kurang berbanding tahun lalu.

Menurutnya, disebabkan itu tempahan masih dibuka kepada pelanggan yang ingin menggunakan perkhidmatannya.

"Saya terima tempahan baju sehingga dua minggu sebelum menjelang raya. Jadi, masih ada peluang untuk mereka yang ingin berbuat demikian.

"Selepas daripada tempoh itu, tempahan ditutup kerana perlu menyiapkan tempahan pelanggan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Kampung Balok pada Ahad.

Nor Ain Shuhada menyusun baju yang telah siap dijahit buat pelanggannya.
Nor Ain Shuhada menyusun baju yang telah siap dijahit buat pelanggannya.

Senada dengannya, Nor Ain Shuhada Zaid, 33, yang sudah menjahit sejak lebih 10 tahun lalu itu turut mendapati tempahan bagi hari raya tahun ini agak berkurangan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, saya sudah mula menerima tempahan baju raya, tapi tidak sampai 50 tempahan.

"Tapi saya yakin jumlah itu akan bertambah sebelum menjelang Ramadan," katanya.

Bagaimanapun, Nor Ain Shuhada berkata, selain menerima tempahan, dia turut menawarkan khidmat alteration pakaian ekali gus mampu memberi pendapatan sampingan.

Sementara itu, pengusaha kedai jahit yang ingin dikenali sebagai Khoo, 65, mengakui masih ada rezeki buat tukang jahit meskipun perlu bersaing dengan jualan pakaian siap.

Katanya, tempahan baju raya untuk lelaki tidak banyak diterima kerana kekurangan pekerja.

"Jadi saya ambil setakat yang mampu dan tempahan masih diterima," ujarnya yang lebih 40 tahun menjahit pakaian tradisional.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28