Lari sekatan, JPJ cabut kunci motosikal

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang anggota JPJ mencabut kunci motosikal milik penunggang di lampu isyarat Jalan Changkat Jong- Bidor, Rabu lalu. Foto Ihsan pembaca
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang anggota JPJ mencabut kunci motosikal milik penunggang di lampu isyarat Jalan Changkat Jong- Bidor, Rabu lalu. Foto Ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Tindakan melarikan diri daripada sekatan jalan raya menjadi punca anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Perak mencabut kunci motosikal milik beberapa penunggang di persimpangan lampu isyarat seperti video tular di media sosial pada Sabtu.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Perak, Mir Khairol Hafizal Mir Idris berkata, kejadian itu berlaku ketika pasukan melaksanakan Op Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina 2024 di Kilometer 3, Jalan Changkat Jong-Bidor dekat Teluk Intan, Rabu lalu.

"Semasa operasi dijalankan terdapat segelintir penunggang cuba berpatah balik melawan arus untuk lolos dari sekatan jalan raya (SJR). Disebabkan itu, beberapa orang anggota penguat kuasa telah ditugaskan untuk memberhentikan motosikal yang cuba berpatah balik.

"Amaran turut diberikan selepas diperiksa ada penunggang mempunyai lesen memandu dan lesen kenderaan motor yang berkuat kuasa.

"Nasihat turut diberikan supaya penunggang motosikal tidak mengulangi kesalahan ini kerana tindakan melarikan diri dari sekatan jalan raya boleh mengundang risiko kemalangan yang bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri malah pengguna jalan raya lain serta anggota pasukan penguatkuasaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Menurut Mir Khairol Hafizal, JPJ Perak berjaya menyita 58 kenderaan dalam operasi tersebut dan 383 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan yang direkodkan adalah tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor ( LKM ) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, pamer nombor pendaftaran 'fancy' dan pelbagai kesalahan lain.

"Rutin pemeriksaan dilakukan ketika SJR adalah untuk menguatkuasakan undang-undang. Tiada keperluan untuk melarikan diri dari sekatan kecuali terbabit dengan kes jenayah besar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28