5 anggota penguat kuasa antara 10 ditahan minta, terima rasuah

KUALA LUMPUR - Seramai 10 individu termasuk lima anggota penguat kuasa ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah antara RM500 sehingga RM1,000 bagi meminda butiran spesifikasi enjin kenderaan perdagangan daripada kenderaan diesel biasa kepada kenderaan diesel hijau dalam sistem tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.
Empat suspek ditahan di Johor, tiga di Selangor, dua di Perak dan satu di Sabah.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kesemua mereka disyaki meminta rasuah daripada pemilik-pemilik kenderaan dan orang tengah, sebagai balasan kerana melakukan kegiatan itu.
Menurutnya, semua suspek yang berumur 33 hingga 66 tahun ditahan sekitar jam 11 pagi hingga 3 petang tadi, dan kegiatan itu didalangi empat ejen serta seorang pemilik syarikat, yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita.