Anggota polis parah, dilanggar motosikal lari sekatan

Mangsa yang mengalami kecederaan parah akibat kejadian kini dirawat di Hospital Shah Alam.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah akibat kejadian kini dirawat di Hospital Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang anggota polis parah dilanggar penunggang motosikal yang cuba meloloskan diri dalam Operasi Samseng Jalanan di Persiaran Perbandaran Seksyen 14 dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika suspek bertindak melawan arus untuk melarikan diri.

"Suspek bekerja sebagai penghantar barangan itu dipercayai cuba berpatah balik setelah melihat sekatan jalan raya di lokasi kejadian sebelum melawan arus.

"Anggota polis berkenaan kemudian cuba menghalang suspek sebelum suspek bertindak melanggar mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, kejadian mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

"Mangsa merupakan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Traffik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berumur 40-an itu kini ditempatkan di Zon Merah.

"Difahamkan mangsa kini sedang mendapatkan rawatan selanjutnya akibat kecederaan yang dialami," katanya.

Menurutnya, suspek terlibat kini ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186/307 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang," katanya.