Masih ada tidak ambil iktibar kejadian lemas - Bomba

Gambar yang dikongsikan menerusi Facebook Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu menunjukkan terdapat pengunjung yang masih bermain air di pantai walaupun dikhuatiri berdepan risiko lemas.
Gambar yang dikongsikan menerusi Facebook Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu menunjukkan terdapat pengunjung yang masih bermain air di pantai walaupun dikhuatiri berdepan risiko lemas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Walaupun musim Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negeri ini belum berakhir, masih ada ibu bapa yang membiarkan anak bermain air di pantai tanpa menghiraukan risiko yang mungkin dihadapi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abnihajar berkata, keadaan itu dapat dilihat hasil pemantauan yang dijalankan secara berkala melibatkan beberapa kawasan pantai di daerah ini.

Menurutnya, antara kawasan terlibat ialah Pantai Batu Buruk, Pantai Pandak, Chendering; Taman Awam Lagun, Kuala Ibai; Pusat Rekreasi Kalang Warisan dan Dataran Banggol Cempedak.

"Anggota bomba akan menjalankan pemantauan setiap hujung minggu iaitu pada Jumaat dan Sabtu. Ketika pemantauan, kita turut mengedarkan risalah serta menasihati pengunjung untuk tidak melakukan aktiviti di air.

"Berdasarkan pemantauan kita pada hujung minggu lalu masih terdapat ibu bapa yang membiarkan anak-anak bermain air di pantai seolah-olah tiada apa yang berlaku. Sedangkan kita baru sahaja berdepan kes lemas di Pantai Batu Buruk baru-baru ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Ahad.

Menurut Rozizah, kejadian lemas menimpa seorang lelaki di Pantai Batu Buruk pada 18 Februari lalu perlu diambil iktibar kepada orang ramai.

"Kes itu baru lagi berlaku, sepatutnya ia beri sedikit kesedaran kepada orang awam namun kita dapati ibu bapa pun seolah-olah tidak kisah anak bermain air.

"Kalau setakat duduk bersantai bergambar tak mengapa, tapi ada yang masih buat aktiviti dia air. Kalau boleh bermain air pun kita tak nak kerana kebanyakan kes lemas berpunca dari bermain air dan leka kemudian ditarik ombak ke tengah laut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Rozizah turut menyarankan penambahan papan tanda amaran dan bendera merah kawasan pantai berisiko bagi meningkatkan kesedaran awam.

Sebelum ini, seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Pantai Batu Buruk ditemukan lemas berdekatan Pulau Gemia, Marang kira-kira jam 4 petang pada 19 Februari lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, mayat Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, ditemukan terapung oleh nelayan sejauh 16 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28