Wanita maut cuba memotong kenderaan lain

Kenderaan yang dinaiki mangsa remuk selepas bertembung dengan pacuan empat roda di Kilometer 12 Jalan Beaufort-Papar di kawasan Lumbunau, Beaufort.
Kenderaan yang dinaiki mangsa remuk selepas bertembung dengan pacuan empat roda di Kilometer 12 Jalan Beaufort-Papar di kawasan Lumbunau, Beaufort.
A
A
A

BEAUFORT - Seorang wanita maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan kenderaan jenis Perodua Kembara dan pacuan empat roda di Kilometer 12 Jalan Beaufort-Papar di kawasan Lumbunau di sini pada petang Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa Jeliha Echek, 46, yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) tersepit sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Ismail Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Pekan Beaufort menuju ke Membakut.

Mangsa maut di lokasi kejadian.
Mangsa maut di lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, Perodua Kembara yang dipandu mangsa datang dari arah bertentangan cuba untuk memotong kenderaan lain namun tidak sempat masuk semula ke laluan asal.

"Akibat kejadian itu, kenderaan tersebut bertembung dengan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan dan menyebabkan mangsa maut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Ismail berkata, dalam kejadian itu juga pemandu Toyota Hilux iaitu lelaki berusia 59 tahun bersama isteri dan dua anaknya berusia enam dan dua tahun dihantar Hospital Beaufort untuk menerima rawatan.

"Mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, sebaik pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 20 kilometer.

"Terdapat seorang mangsa tersepit dalam Perodua Kembara dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba selain terdapat empat mangsa cedera ringan dalam pacuan empat roda tersebut," katanya.

Mohammad Hasbullah berkata, operasi ditamatkan 7.38 malam selepas keadaan di lokasi kejadian selamat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28